Orang asli Bateq: Siasatan menyeluruh, bukan inkues

Mohd Sayuti Omar
Mohd Sayuti Omar
A
A
A

KOTA BHARU - Siasatan yang menyeluruh perlu dilakukan melibatkan isu kematian 15 orang asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang, supaya masyarakat mengetahui punca sebenar kematian berkenaan.

Pemerhati Politik, Mohd Sayuti Omar berkata, cadangan untuk membuat inkues terhadap kes tersebut dilihat tidak perlu memandangkan semua agensi boleh membantu antara satu sama lain untuk sebarang siasatan yang dilakukan.

“Apa yang penting ialah siasatan menyeluruh untuk memastikan punca kematian. Barang kali perlu ujian terhadap persekitaran melibatkan sampel air, tanah, dan persekitaran di Kuala Koh itu dibuat lagi sekali secara lebih sistematik dan mendalam.

“Walaupun baru-baru ini Jabatan Alam Sekitar sudah mengemukakan laporan tetapi jawapan laporan itu boleh dipertikaikan, apabila ada pihak mengatakan sampel air, tanah dan sebagainya diambil secara rawak atau tidak menempati kaedah yang sebenarnya,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya akan mempertimbangkan cadangan mengadakan inkues kematian 15 Orang Asli suku Batek di Kuala Koh bagi mendapatkan jawapan kepada punca sebenar kematian berkenaan.

Bagaimanapun, sebarang keputusan mengenainya akan dibuat selepas pihak kementerian menerima keputusan penuh bedah siasat dan laporan kimia berkenaan kematian tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Sayuti berkata, daripada membuat inkues, lebih baik semua jabatan dan agensi terlibat dalam pembangunan masyarakat orang asli bekerjasama untuk membantu kaum tersebut.

“Satu pelan pembangunan sosial ekonomi menyeluruh orang asli perlu diadakan dan ia perlu melibatkan semua jabatan berkaitan. Semua pihak perlu memikir soal masa depan.

Artikel Berkaitan:

“Jangan hanya retorik dan cuba mengungkit sesuatu yang tidak mudah untuk dicapai. Kita perlu realistik mengenai masa depan orang asli bukan menjadikan ia sebagai isu sampingan,” katanya.