JPJ tahan 18 treler lebihan muatan

Anggota JPJ sedang melakukan pemeriksaan ke atas sebuah treler dalam operasi berkenaan.
Anggota JPJ sedang melakukan pemeriksaan ke atas sebuah treler dalam operasi berkenaan.
A
A
A

JASIN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menahan 18 buah treler pasir yang membawa lebihan muatan dalam operasi bersepadu di jalan susur keluar Tol Lipat Kajang, di sini, malam tadi.

Operasi yang bermula jam 11 malam dan berakhir jam 6 pagi, mendapati kenderaan terbabit telah melakukan kesalahan dengan membawa lebihan muatan sehingga mencecah 108,000 kilogram (kg).

Pengarahnya, Muhammad Firdaus Shariff berkata, sisatan dan hasil timbang mendapati sebanyak 17 buah treler dikesan membawa muatan antara 100,000 kg sehingga 108,000 kg, melebihi 100 peratus daripada had yang dibenarkan.

Menurutnya, sebelum itu pihaknya telah melakukan risikan selama tiga minggu bagi mengesan treler yang melakukan kesalahan berkenaan.

"Kita mengesan treler membawa muatan lebih dibuat di lokasi yang lebih strategik iaitu 300 meter dari susur keluar Tol Lipat Kajang dengan kerjasama pasukan trafik negeri.

"Pada operasi itu kita menahan 18 buah treler dan 17 daripadanya didapati membawa muatan antara 100,000 hingga 108,000 kg sedangkan berat yang dibenarkan hanya 51,000 kg atau 51 tan," katanya.

Muhammad Firdaus (kiri) melihat sebuah treler yang dikesan membawa lebihan muatan pasir pada operasi malam tadi.
Muhammad Firdaus (kiri) melihat sebuah treler yang dikesan membawa lebihan muatan pasir pada operasi malam tadi.

Muhammad Firdaus berkata demikian di Kompleks JPJ Melaka di Bukit Katil di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya.

Jelasnya hasil pemeriksaan dokumen mendapati kesemua treler pasir itu melibatkan kira-kira lima buah syarikat berlainan yang menghantar bekalan dari Kuantan dan Banting, Selangor ke lokasi sama di sebuah kilang kaca di Jasin.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 82 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 jika sabit kesalahan," katanya.

Sementara itu, Hasan Basri berkata, sebuah treler pasir turut ditinggalkan di tepi jalan oleh pemandunya selepas menyedari sekatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa kira-kira jam 12.30 tengah malam.

"Pemandu lori itu didapati melompat keluar dari treler dipandunya dan menyelinap masuk ke dalam kawasan kebun sawit.

Bagaimanapun kenderaan itu sempat dikuncinya," katanya.