Harta dirampas: Keluarga Najib bantah tuntutan pihak ketiga

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan tiga anak mereka membantah tuntutan oleh pihak ketiga terhadap pelbagai aset yang disita kerajaan daripada mereka tahun lalu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam Syahirah Hanafiah yang mewakili Najib, Rosmah serta tiga anak mereka selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Catherine Nocholas hari ini.

Menurut Syahirah, pihaknya akan memfailkan permohonan berhubung bantahan berkenaan bersama sijil perakuan segera supaya kes itu akan didengar segera sebelum atau pada 18 Julai ini.

"Pihak kami membantah tuntutan pihak ketiga ke atas harta-harta disita itu yang berada di bawah nama responden pertama iaitu Datuk Seri Najib.

"Secara asas barangan yang berada di bawah nama beliau adalah miliknya. Jadi kita tunggu proses pewartaan itu dan mulakan tindakan kita," katanya.

Harta-harta berkenaan disita oleh pegawai penyiasat polis antara 17 Mei 2018 hingga 11 Mac 2019 berhubung dengan perlakuan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) atau hasil daripada aktiviti haram melibatkan responden-responden.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan fail saman lucut hak harta Najib, Rosmah RM711 juta

ARTIKEL BERKAITAN: Notis bagi pihak berkepentingan tuntut harta Najib akan diwartakan

Artikel Berkaitan:

Pada 30 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini membenarkan pihak pendakwaan mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 buah buah kereta yang dirampas dari Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Akta 56 dan 61(2) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Notis berkenaan adalah bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Pada 7 Mei lalu, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan notis usul berhubung pelucutan hak terhadap ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 buah buah kereta yang dirampas daripada Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Pendakwa Raya menamakan bekas Perdana Menteri, Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz, Nor Ashman Razak Mohd Najib, Nooryana Najwa Mohd Najib, Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn. Bhd., Goh Gaik Ewe, Ng Chong Hwa, Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18.

Antara barangan yang disita itu ialah, 52 buah beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, AS$100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baru) yang disita pada 17 Mei 2018.

Barangan lain yang disita pada tarikh sama (17 Mei 2018) ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 buah beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.

Sebanyak 27 buah kereta jenis model Nissan Urvan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain beberapa bidang tanah dan aset lain.