Polis temui semula lapan kenderaan mewah

Mohd Yusuf (tengah) menunjukkan motosikal BMW yang dirampas hasil penangkapan tiga ahli geng Che Mie pada 1 Julai lalu.
Mohd Yusuf (tengah) menunjukkan motosikal BMW yang dirampas hasil penangkapan tiga ahli geng Che Mie pada 1 Julai lalu.
A
A
A

KULIM - Polis merampas empat buah kereta mewah dan empat buah motosikal temasuk jenis BMW hasil penangkapan tiga ahli geng Che Mie pada 1 Julai lalu.

Ketua Polis Kulim, Superintendan, Mohd Yusuf Shaari berkata, tiga suspek berusia 28 hingga 35 tahun terlibat kes jenayah di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Pahang.

Menurutnya, hasil intipan dan pemantauan, dua ahli kumpulan berkenaan berjaya ditangkap di Restoran Hussin Nasi Kandar, Jalan Cinta Sayang Sungai Petani.

"Dalam kejadian tersebut, dua lelaki menaiki kereta jenis Mitsubishi Pajero V34 telah datang ke restoran berkenaan.

"Semakan melalui aplikasi M-COP, kereta berkenaan dilaporkan hilang di Kulim.

"Hasil siasatan terhadap dua suspek itu telah membawa kepada tangkapan seorang lagi ahli di rumahnya di taman perumahan di Sungai Petani Hight," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim hari ini.

Beliau berkata, hasil serbuan di rumah berkenaan, polis menemui tiga lagi kereta iaitu Mitsubishi Lancer, Honda Civic Ej dan Honda Civic Ferio.

"Polis Kulim turut menemui sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis BMW R1200 berharga RM130,000 yang dicuri di Karangan pada Jun lalu termasuk dua motosikal jenis Yamaha dan sebuah motosikal vespa.

Artikel Berkaitan:

"Polis juga merampas beg berjenama, peralatan rumah dan curi kereta," katanya.

Beliau berkata, polis percaya tangkapan berkenaan berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah dan curi kereta di kawasan Kulim.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457/379 A Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 14 tahun dan sebatan," katanya.

Mohd Yusuf (tengah) menunjukkan kompenan stapler yang dicuri penenayah.
Mohd Yusuf (tengah) menunjukkan kompenan stapler yang dicuri penenayah.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Yusuf berkata, pada 1 Julai, tiga suspek berusia 33 hingga 37 tahun ditangkap kerana didapati terlibat mencuri komponen stapler bernilai RM20,000 di Kulim Hi-tech.

Kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau berkata, pada 2 Julai, dua remaja berusia 18 tahun terlibat kes samun seutas rantai emas di Kulim ditangkap dalam serbuan berasingan.

"Kejadian berlaku pada jam 11.30 pagi apabila seorang wanita berusia 42 tahun dihampiri dua suspek yang menaiki sebuah kereta.

"Salah seorang turun dari kenderaan dan menarik rantai emas mangsa hingga mengalami kecederaan di kaki tangan.

"Mangsa menerima rawatan di Hospital Kulim dan kes itu tular di media sosial," katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.