Penerbangan AirAsia Melaka-Pulau Pinang dihentikan sementara

No Image Caption
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri mengumumkan laluan penerbangan AirAsia ke Pulau Pinang menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam diberhentikan bagi tempoh sementara waktu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Wahab berkata, pemberhentian sementara itu bagi membolehkan sistem navigasi yang mengalami masalah dibaik pulih dan dapat beroperasi seperti biasa segera.

"Namun kita belum pastikan sampai bila laluan penerbangan dari Melaka ke Penang akan beroperasi semula. Pihak berkenaan sedang giat melakukan kerja baik pulih navigasi di terminal.

'Bagaimanapun penerbangan sedia ada termasuk Syarikat Penerbangan Malindo Air beroperasi seperti biasa tanpa sebarang gangguan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap AirAsia Bhd (AirAsia) berkata, penerbangan Melaka-Pulau Pinang dibatalkan pada 4 dan 5 Julai sehingga sistem navigasi dijangka pulih sepenuhnya pada 6 Julai ini.

"Kita sedaya upaya memantau dan menyelesaikan masalah yang timbul dan sistem navigasi yang diguna tidak sama dengan syarikat penerbangan lain kerana pesawat berlainan," katanya.

Semalam Sinar Harian menyiarkan kira-kira kira-kira 132 penumpang penerbangan pesawat AirAsia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam.

Dalam kejadian lebih kurang jam 2.50 petang, penerbangan dari Melaka ke Pulau Pinang itu terpaksa dibatalkan setelah mengalami masalah sistem navigasi di menara kawalan udara.

Artikel Berkaitan:

Pada 1 Julai lalu, syarikat penerbangan tambang murah itu menambah satu lagi laluan baharu apabila memulakan penerbangan sulung dari Pulau Pinang ke LTAM di sini.

ARTIKEL BERKAITAN:AirAsia mulakan penerbangan Pulau Pinang-Melaka

132 penumpang AirAsia terkandas di LTAM