Kilang proses sisa plastik diarah tutup

Sivanesan (dua dari kanan) ketika membuat pemeriksaan di sebuah kilang memproses plastik di Sungkai.
Sivanesan (dua dari kanan) ketika membuat pemeriksaan di sebuah kilang memproses plastik di Sungkai.
A
A
A

SUNGKAI - Sebuah kilang memproses plastik di sini diarah menutup sementara operasi selepas didapati gagal mematuhi kelulusan bersyarat yang diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, arahan itu dikeluarkan bagi memberi laluan kepada siasatan terperinci setelah pemeriksaan dijalankan hari ini menemui banyak keraguan dalam pengoperasiannya.

Menurutnya, kilang yang beroperasi sejak hampir lapan bulan itu sebenarnya tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Ini dibuktikan apabila kita menemui banyak pengabaian aspek kebersihan dalam mengendalikan sisa plastik di kilang ini.

"Selain itu kawasan kilang ini juga hampir dengan penempatan, ia sesuatu yang berisiko sekiranya terus dibiarkan beroperasi apatah lagi kita telah mendapat aduan daripada penduduk Kampung Baru Kuala Bikam bahawa sudah berlaku pencemaran sungai di kawasan itu," katanya pada sidang media selepas membuat pemeriksaan di kawasan itu hari ini.

Turut sama dalam pemeriksaan itu adalah JAS Perak, Majlis Daerah Tapah, Pejabat Tanah dan Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), polis dan Jabatan Imigresen.

Sivanesan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai berkata, tindakan selanjutnya termasuk menarik semula kelulusan permit hanya akan dibuat sebaik laporan siasatan selesai.

"Pemeriksaan sebelum ini mendapati, kilang berkenaan memproses sisa plastik yang diimport dari luar negara, namun ia belum dapat dibuktikan kerana tidak menemui sebarang dokumen bagi mengesahkannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pihaknya juga telah mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja meneliti khidmat pekerja di kilang itu kerana dikhuatiri menggunakan tenaga kerja asing tanpa permit.

"Kita dapati pemilik kilang ini bukan warga tempatan dan sejak awal kita masuk ke kilang ini tadi, tidak kelihatan seorang pekerja pun, mereka dah lari mungkin," katanya.