SPRM mohon kes rasuah Bung, Zizie dipindah ke Mahkamah Tinggi

Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Ezette A Samad (dua, kanan) hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad. - Foto Bernama
Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Ezette A Samad (dua, kanan) hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan memfailkan notis usul untuk memindahkan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette A Samad yang berdepan tuduhan rasuah RM2.8 juta berhubung pelaburan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (FELCRA) ke Mahkamah Tinggi.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Allan Suman Pillai ketika sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob.

Menurut Allan Suman, notis usul telah difailkan pihaknya pada 18 Jun lepas supaya perbicaraan kes tersebut didengar di Mahkamah Tinggi.

Pada masa sama, Allan Suman turut memaklumkan pihaknya akan membuat permohonan supaya kes membabitkan pasangan itu dibicarakan bersama.

"Permohonan berkaitan isu tersebut akan dikemukakan di Mahkamah Tinggi," katanya.

Sementara itu Allan Suman turut memaklumkan, pihaknya juga telah menyerahkan semua dokumen berkaitan kedua-dua kes tersebut kepada pasukan pembelaan.

Peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili Bung Moktar, 60, dan Zizie Izette,41, tidak membantah permohonan pihak pendakwaan itu.

Kumaraendran turut mengesahkan perkara tersebut dan mahkamah menetapkan 5 Ogos untuk sebutan semula kes bagi mengetahui status permohonan pihak pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mahyudin Mohmad Som menetapkan 9 Ogos untuk pendengaran permohonan pendakwaan bagi memindahkan kes rasuah Bung Moktar dan isterinya ke Mahkamah Tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN: Bung Moktar didakwa terima rasuah RM2.8 juta

Pada 3 Mei lepas, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi tuduhan pertama, Bung Moktar didakwa sebagai ejen kepada FELCRA iaitu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad (ketika itu) memperoleh suapan RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui isterinya Zizie Izzete.

Suapan itu adalah sebagai upah untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II bagi FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta untuk menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati jam 12.30 tengah hari, 12 Jun 2015.

Bagi tuduhan kedua, Bung Moktar didakwa memperoleh suapan RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya sebagai upah untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II bagi FELCRA membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi tuduhan ketiga pula, Bung Moktar didakwa memperoleh suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen Public Mutual Berhad melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund atas nama isterinya.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Bung Moktar didakwa mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 21(4) akta sama.

Zizie Izette juga didakwa pada tarikh sama atas pertuduhan bersubahat dalam tiga pertuduhan yang dihadapi Bung Moktar yang mana jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali jumlah nilai suapan yang menjadi perkara hal kesalahan itu atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.