Tokan dadah Pasir Panjang kena cekup

Chee Khoon (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam di sini.
Chee Khoon (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam di sini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang daripada empat tokan dadah yang bergiat aktif sejak dua tahun lalu dicekup di sebuah kebun kelapa sawit di Tali Air 9, Pasir Panjang di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan dalam serbuan 'Ops Sarang' diketuai Inspektor S Ashok Kumar kira-kira jam 1 pagi.

Menurutnya, hasil serbuan itu, polis menjumpai dua peket plastik besar, straw dan enam peket plastik lut sinar dadah jenis heroin seberat 27.90 gram bernilai RM800.

"Turut dirampas, tiga peket dadah jenis syabu seberat 1.60 gram bernilai RM200 dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.

Chee Khoon berkata, suspek yang juga penganggur dan sudah berkahwin itu memiliki enam rekod lampau jenayah dan narkotik.

"Malah, suspek dipercayai menjalankan kegiatan sama dengan tiga lagi rakannya dan polis sedang memburu saki-baki kumpulan berkenaan," katanya.

"Kumpulan ini aktif mengedar dadah di sekitar kawasan Pasir Panjang, Sekinchan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis MOP.

"Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.