Lelaki ditahan miliki senapang angin

Kesemua senjata api dan senjata tajam termasuk peluru ditemui dalam beg sandang milik suspek di kenderaan jenis Toyota Camry dipandunya.
Kesemua senjata api dan senjata tajam termasuk peluru ditemui dalam beg sandang milik suspek di kenderaan jenis Toyota Camry dipandunya.
A
A
A

SEGAMAT- Penahanan polis terhadap seorang lelaki berusia 37 tahun dalam sekatan jalan raya baru-baru ini membongkar pemilikan senjata api buatan sendiri serta beberapa alatan tajam dalam kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, dalam operasi pada jam 2 pagi itu Isnin lalu, pihaknya telah menahan sebuah kereta jenis Toyota Camry dipandu seorang lelaki ketika sekatan di Jalan Buloh Kasap, di sini.

Katanya, kesemua barangan berbahaya dan terlarang itu ditemui dalam sebuah beg sandang yang berada pada kenderaan itu.

“Pemeriksaan lanjut dalam beg berkenaan menemui selaras senapang angin buatan sendiri, selaras senapang patah mengandungi sebutir peluru hidup dan sebilah pisau sabit yang bersarung.

“Turut ditemui, 33 butir peluru hidup dipercayai untuk kegunaan senapang patah, 33 butir guli disyaki peluru senapang angin dan beberapa lagi barangan larangan,” katanya kepada pemberita, sebentar tadi.

Menurut beliau, hasil soal siasat, suspek mengakui bekerja sebagai penjaga buah durian dan bertegas mengatakan kesemua senjata itu adalah untuk kegunaan di kebun.

“Tiada istilah atau alasan bagi senjata api tiruan seperti senapang angin digunakan untuk memburu haiwan kerana tetap menyalahi peraturan undang-undang. Penggunaan senjata api juga memerlukan lesen tertentu.

“Justeru, pihak awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran sekitar Segamat atau talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07- 9324222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, suspek kini disambung reman sehingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960, Seksyen 8, dan Sek 8 (A) Akta Senjata Api penalti Lebih Berat.

Katanya, suspek yang berstatus orang dikehendaki juga disahkan positif dadah jenis methamphetamine.