Kerajaan AS tutup angkara Trump

Kongres gagal mencapai sebarang kesepakatan hingga menyebabkan kerajaan persekutuan menjadi lumpuh pada tengah malam.
Kongres gagal mencapai sebarang kesepakatan hingga menyebabkan kerajaan persekutuan menjadi lumpuh pada tengah malam.
A
A
A

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Amerika Syarikat (AS) telah menutup sebahagian kerajaan selepas Kongres gagal untuk meluluskan rang undang-undang perbelanjaan persekutuan merujuk kepada permintaan Presiden Donald Trump yang mahu membina tembok di sempadan AS-Mexico yang ditolak sekeras-kerasnya oleh Parti Demokrat.

Rundingan terburu-buru di Kongres, semalam tidak mencapai sebarang kesepakatan hingga menyebabkan kerajaan persekutuan menjadi lumpuh pada tengah malam.

Penutupan itu menjadi bukti terbaharu disfungsi di Washington dan menjadi 'petanda buruk' kepada Republikan depan apabila Demokrat menguasai Dewan Perwakilan pada tahun depan.

Jutawan hartanah tersebut dilihat cuba menuding jari menyalahkan Demokrat, namun presiden terbabit ditempelak selepas Trump dengan angkuh pada minggu lalu berkata, beliau 'berbangga' untuk menutup bahagian utama kerajaan persekutuan demi memperoleh dana untuk projek pembinaan tembok sempadan itu.

Rundingan antara pasukan Trump dan pemimpin kedua-dua parti politik di Kongres untuk menyelesaikan krisis itu dijangka diteruskan pada hujung minggu.

Difahamkan, ia masih tidak jelas berapa lama penutupan itu akan berlangsung.

Namun, Trump yang sering mengeluarkan kenyataan dan pendirian flip flop menyuarakan hasrat agar ia tidak berterusan untuk tempoh yang lama walaupun pada mulanya beliau kononnya bersedia dengan situasi itu.

Langkah penutupan itu memberi kesan kepada lebih 400,000 kakitangan 'penting' persekutuan di beberapa agensi yang tidak akan dibayar gaji sehingga pertikaian itu diselesaikan manakala 380,000 lagi terpaksa 'cuti sementara. - Agensi

Artikel Berkaitan: