'Samseng lautan' rempuh bot nelayan tempatan

Tali sauh yang terputus akibat rempuhan menyelamatkan bot ini daripada mengalami kerosakan lebih teruk.
Tali sauh yang terputus akibat rempuhan menyelamatkan bot ini daripada mengalami kerosakan lebih teruk.
A
A
A

KUALA NERUS - Sudahlah mencuri hasil laut, rempuh pula bot nelayan tempatan.

Itulah sikap kurang ajar nelayan daripada Vietnam yang merempuh bot milik Mamat Muda, 73, ketika berada di Laut China Selatan di kedudukan sekitar 80 batu nautika dari Seberang Takir di sini.

Kejadian kira kira jam 2.30 pagi itu ketika juragan bot, Zizi Mamat, 32, dan sekumpulan awak-awak sedang tidur yang kemudiannya terjaga akibat rempuhan kuat dari arah hadapan bot itu.

Mamat berkata, pelanggaran itu mengakibatkan bot berkenaan mengalami kerosakan teruk dan nyaris menyebabkan ia karam namun bernasib baik apabila tali sauh terputus akibat rempuhan.

"Kalau tali sauh tidak putus kemungkinan banyak lagi kerosakan dan bot ini juga mungkin karam sekali gus menyebabkan nyawa juragan dan awak-awak bot terancam dan mereka mungkin lemas.

“Bagaimanapun, keadaan kerosakan hanya di bahagian depan dan atas bot dan mereka berjaya pulang semula ke jeti Seberang Takir selepas bot milik warga Vietnam itu beredar," katanya hari ini.

Mamat melihat keadaan botnya yang pecah di bahagian hadapan setelah dirempuh nelayan Vietnam.
Mamat melihat keadaan botnya yang pecah di bahagian hadapan setelah dirempuh nelayan Vietnam.

Mamat berkata, nilai kerosakan bot dianggarkan kira kira RM17,000 dan kejadian itu menyebabkan juragan dan awak-awak terpaksa berehat dalam tempoh agak panjang sehingga bot itu selesai dibaiki.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, juragan sebuah lagi bot, Azmi Abu Bakar, 46, berkata, sikap kurang ajar nelayan Vietnam bukan perkara baharu bagi nelayan tempatan malah kumpulan itu digelarkan samseng lautan.

"Mereka bukan sahaja menceroboh perairan negara untuk mencuri hasil laut tetapi sanggup merempuh bot nelayan tempatan jika menghalang laluan mereka untuk menangkap ikan," katanya.