X

Kindly register in order to view this article
!

Agong berangkat hadir hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat tiba pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-254 di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berangkat menghadiri hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-254 di Istana Negara di sini.

Keberangkatan Seri Paduka diiringi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mesyuarat yang bermula semalam itu dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut berangkat hadir Raja-raja Melayu kecuali Kelantan yang diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra dan Pahang diwakili Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Mesyuarat turut disertai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, dalam satu kenyataan, memaklumkan mesyuarat telah disembahkan taklimat mengenai pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Soal keselamatan negara pula diperjelas oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Turut dibincangkan ialah perkara mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya dan hakim-hakim Mahkamah Atasan.

Perbincangan pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-254 juga menyentuh tentang pelantikan Timbalan Pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, pelantikan ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran serta perkara mengenai agama Islam.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!