Sekolah bukan medan berpolitik

Khalid meninjau keadaan padang SMK Seksyen 19 selepas majlis perasmian yang berlangsung hari ini.
Khalid meninjau keadaan padang SMK Seksyen 19 selepas majlis perasmian yang berlangsung hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mengingatkan semua pihak agar tidak menggunakan premis sekolah sebagai medan bagi meraih sokongan politik.

Menurutnya, institusi pendidikan seperti sekolah tidak wajar dijadikan tempat untuk berpolitik memandangkan ia merupakan tempat bagi mengukuhkan perpaduan dan penyatuan di kalangan murid.

Khalid berkata, terdapat banyak lokasi lain yang dilihat lebih bersesuaian untuk berpolitik atau mengedarkan borang keahlian buat mana-mana penyokong parti.

"Tumpuan kita sekarang adalah kepada matlamat untuk pembinaan semula negara. Dan kalau nak berpolitik, cari tempat lain.

"Banyak tempat lain untuk edar borang parti dan kita tak nak sekolah, surau atau masjid dijadikan tempat berpolitik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19 hari ini.

Sebelum ini, Amanah Perak menyifatkan tindakan seorang pemimpinnya mengedarkan borang keahlian parti di dalam premis sekolah sebagaimana tular dalam media sosial sebagai tidak bijak.

Pengerusinya, Asmuni Awi berkata, tindakan itu sebenarnya dilarang keras dalam parti kerana ia akan memberi implikasi negatif terhadap imej Amanah di kemudian hari.

Difahamkan, pemimpin berkenaan juga sudah ditegur pucuk kepimpinan Amanah negeri setelah gambar beliau memberikan borang keahlian kepada seorang individu dipercayai guru tular di laman sosial.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai spekulasi kononnya bakal berlaku rombakan kabinet menteri selepas ini, Khalid berkata perkara itu hanyalah sekadar provokasi bagi memberikan gambaran bahawa kerajaan PH sentiasa dalam keadaan tidak stabil.

"Saya lihat kabinet yang ditubuhkan ini cukup fokus dan semua (menteri) hanya fikirkan jalan untuk laksanakan tugas masing-masing.

"Malah Tun (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) juga telah memaklumkan bahawa tidak akan ada sebarang perubahan kabinet," katanya.

Tambah beliau, setiap pihak tidak sewajarnya hanya fokus berpolitik memandangkan kerajaan pada hari ini sentiasa menumpukan kepada aspek penyampaian perkhidmatan terbaik buat rakyat.