Elaun sasterawan satu penghargaan: Zurinah

Zurinah Hassan
Zurinah Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Pemberian elaun bulanan oleh kerajaan kepada para Sasterawan Negara disifatkan sebagai penghargaan terhadap jasa penggiat seni negara dan tidak seharusnya dijadikan isu oleh segelintir pihak, kata Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan.

Beliau berkata pemberian kerajaan itu adalah sepertimana dilakukan oleh negara maju antaranya Jepun, Korea serta Thailand yang memang menyalurkan wang sara hidup kepada ahli sastera mereka untuk membantu golongan itu dalam menghasilkan lebih banyak karya seni.

“Kalau kita tengok di negara kita ini, untuk menjadi sasterawan tulen mesti mendapat sokongan dan bantuan daripada kerajaan kerana dalam menjadi seorang sasterawan, kami memang tiada sumber pendapatan yang tetap.

“Apabila kami tidak menghasilkan sebarang penulisan, maka kami tiada punca pendapatan kerana untuk menghasilkan sesebuah karya yang bagus mengambil masa tiga hingga empat tahun. Jadi, dari mana pendapatan kami sepanjang bahan bacaan dihasilkan jika tiada bantuan dari kerajaan,” katanya pada Majlis Silatuhrahim Aidilfitri dan Baca Puisi Bumbung anjuran Institut Darul Ehsan (IDE), di sini malam tadi.

Tambahnya, masyarakat seharusnya lebih prihatin terhadap kesusahan dan keperitan yang dilalui para Sasterawan Negara dalam menghasilkan sesebuah karya serta bahan bacaan demi mengikut peredaran masa dan bukan menimbulkan isu terhadap pemberian bantuan oleh kerajaan itu.

Pada 24 Jun lepas, kerajaan mengumumkan tujuh Sasterawan Negara menerima elaun bulanan sebanyak RM5,000 sebagai menghargai sumbangan mereka menaikkan martabat Bahasa Melayu dalam perkembangan kesusasteraan tanah air.

Mereka ialah Datuk Seri Dr A. Samad Said; Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh; Datuk Noordin Hassan; Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan; Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah; Datuk Dr Baharuddin Zainal; dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

Dalam pada itu, Zurinah turut melahirkan rasa terkilan apabila melihat pasaran bahan bacaan di Malaysia semakin merosot kerana masyarakat semakin kurang membeli buku-buku ilmiah.

Artikel Berkaitan:

“Kami menyedari isu ini ketika membuat jualan buku di Singapura dan Brunei, ia terjual dengan banyak jika dibandingkan dengan jualan di negara sendiri. Pada pandangan saya, antara faktor kurangnya rakyat kita membeli buku adalah mungkin disebabkan tahap ekonomi negara yang merundum.

“Ini menjadikan masyarakat semakin kurang kuasa membeli dan kurang membeli buku. Ia sebenarnya memberi kesan kepada kami dan penggiat seni yang lain," katanya.

Pada masa sama, penulis dan penyair yang popular dengan karya ‘Laut Membiru Bagai Surat Rindu’ itu menyeru kerajaan dan agensi berkaitan supaya mempergiat kempen penggunaan Bahasa Melayu tulen dan ‘menghukum’ mana-mana pihak yang menggunakan bahasa pasar pada papan kenyataan.

Katanya, ia adalah demi memartabatkan bahasa kebangsaan itu supaya tidak terus ditelan zaman.- Bernama