Kumpulan pertama 483 jemaah haji berlepas ke Tanah Suci

A
A

SEPANG - Kumpulan pertama 483 jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci pagi ini dengan penerbangan Malaysia Airlines.

Turut serta dalam penerbangan MH8100 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah yang berlepas pada 5.30 pagi itu ialah 13 petugas media yang akan membuat liputan sepanjang musim haji kali ini.

Majlis pelepasan di Kompleks Tabung Haji KLIA itu disempurnakan oleh Pengurus Besar Kanan Haji merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Operasi haji yang membabitkan 30,200 jemaah akan melibatkan 62 penerbangan dengan yang terakhir dijadual berlepas pada 4 Ogos.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Syed Saleh berkata antara cabaran yang perlu ditempuh bakal haji ialah cuaca panas yang boleh mencecah 50 darjah Celcius, terutama ketika berwukuf.

Selain itu, katanya pihaknya turut melakukan beberapa perubahan, antaranya menyediakan pek makanan sedia dimakan atau 'ready to eat' bagi kemudahan para jemaah.

Beliau berkata penyediaan pek makanan itu akan memastikan hanya makanan yang baharu dihidangkan kepada bakal haji selain dapat menjimatkan masa dan mengelak pembaziran.

"Makanan jenis ini hanya perlu dipanaskan dengan air panas sebelum dihidang dan ini tentunya boleh mengurangkan pembaziran kerana ia dimasak berdasarkan permintaan atau bilangan jemaah yang ada pada waktu makan tersebut.

"Untuk projek rintis ini, kita sediakan tidak lebih tiga jenis makanan sahaja seperti nasi beriani dan nasi lemak, dan akan ditambah jika mendapat maklum balas memuaskan daripada para jemaah," katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia