Lelaki sakit mental menyamar askar ditahan

Lelaki mental ditahan anggota askar kerana cuba menyamar dalam Kem Rasah.
Lelaki mental ditahan anggota askar kerana cuba menyamar dalam Kem Rasah.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang penuntut sebuah kolej swasta yang disyaki mengalami masalah mental ditahan polis selepas cuba menyamar dan menceroboh masuk kem tentera di Jalan Rasah kelmarin.

Difahamkan, lelaki berusia 26 tahun itu cuba memasuki kawasan kem berkenaan sebelum disedari anggota tentera yang bertugas.

Menurut sumber, pengawal bertugas telah menahan dan mendapatkan beberapa maklumat daripada suspek yang mengaku sebagai anggota tentera berpangkat Sarjan dari Kor Risik Diraja.

“Siasatan mendapati lelaki tersebut menyamar dan cuba menipu untuk memasuki kawasan kem. Pemeriksaan di badan menjumpai sebilah pisau tajam, dompet dan kunci kereta.

“Pegawai bertugas kemudian menghubungi polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima maklumat kejadian.

“Polis menahan suspek untuk pemeriksaan lanjut dan berdasarkan maklumat diperoleh, kita dapati suspek mempunyai masalah mental.

“Dia dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) dan hospital mengesahkan suspek mempunyai rekod rawatan pesakit psikiatri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lelaki tersebut kini mendapatkan rawatan lanjut di hospital sebelum dibenarkan keluar.