Belailah ibu bapa untuk keberkatan

A
A
A

MENGIKUT ajaran agama Islam, hukum berbuat baik kepada kedua ibu bapa adalah wajib. Kewajipan berbakti kepada ibu bapa diletak di tangga kedua selepas kewajipan beribadah kepada ALLAH SWT.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan kami perintahkan kepada manusia untuk berbuat baik terhadap kedua ibu bapanya. Ibunya mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya dengan menanggung kesulitan.” (Al-Ahqaf 46:15)

“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.

"Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." (Al-Isra’ 17: 23).

Seseorang yang sempat bersama atau berbakti kepada kedua ibu bapanya merupakan orang yang sangat bertuah dan beruntung. Ini kerana, Nabi SAW pernah menyatakan orang yang hina adalah orang yang sempat bersama ibu bapanya tetapi kesempatan yang ada itu tidak membolehkan dia untuk dimasukkan ke dalam syurga.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabd maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?”

Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” (Riwayat Muslim (2551)

Jelas dan nyata sekali bahawa mengikut syariat Islam, anak-anak yang berjaya membelai dan menjaga ibu bapa mereka dengan baik akan meraih kehidupan yang berkat di dunia dan memperoleh keselamatan di akhirat nanti.

Artikel Berkaitan:

Kesibukan kita untuk mengejar kerjaya, membina rumah tangga dan memenuhi tuntutan kehidupan moden tidak seharusnya menjadi penyebab mengapa kita gagal atau tidak dapat menjaga ibu bapa kita.

Hukum menjaga ibu bapa terutama yang uzur terletak bukan sahaja di bahu anak lelaki, bahkan anak perempuan juga. Tanggapan anak perempuan terlepas daripada tanggungjawab menjaga ibu bapa selepas berkahwin tidak benar sama sekali.

Setiap anak wajib berbuat baik bukan sahaja terhadap ibu kandung, bahkan mentua, ibu angkat, ibu tiri mahupun sekadar ibu susuan.

Suami juga tak boleh halang isteri untuk menjaga ibu bapa mereka seandainya mereka uzur atau terlantar sakit dan isteri ingin menjaganya. Suami tidak boleh menghalang, sebaliknya perlu membantu dalam menyediakan keperluan dan kebajikan mentua.

Nafkah itu perlu ditanggung menantu lelaki mengikut kemampuannya. Ia menunjukkan keadilan Islam termasuk kepada ibu bapa yang tidak mempunyai anak lelaki.

Kebanyakan ibu bapa tidaklah mengharap belaian yang berlebihan atau yang membebankan anak-anak mereka. Mereka pun tahu bahawa anak-anak mereka mempunyai kehidupan masing-masing serta tanggungjawab lain yang perlu disempurnakan.

Bagi mereka, sudah mencukupi jika mereka dapat merasai bahawa anak-anak mereka boleh ditumpangi semasa susah atau diperlukan dan anak-anak prihatin dengan kehidupan harian mereka.