JIDTP platform tarik syarikat penerbangan asing ke Malaysia

Datuk Mohammadin Ketapi (tengah) ketika sidang media pada majlis menyambut ketibaan pertama pesawat Air Arabia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. Foto: Bernama
Datuk Mohammadin Ketapi (tengah) ketika sidang media pada majlis menyambut ketibaan pertama pesawat Air Arabia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

SEPANG - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kini dalam proses perbincangan dengan sekurang-kurangnya lapan syarikat penerbangan bagi menarik mereka menggunakan laluan Malaysia menerusi tawaran insentif Program Pembangunan Pelancongan Bersama Antarabangsa (JIDTP).

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, Tourism Malaysia yang juga agensi di bawah kementerian itu, telah bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk menyalurkan kira-kira RM20 juta ke dalam dana di bawah JIDTP itu bagi melonjakkan pelancongan tempatan serta kehadiran pelancong antarabangsa.

Beliau berkata, kadar penyertaan pengendali syarikat penerbangan tempatan dan asing bagi dana itu adalah 32 peratus sejak insentif itu diumumkan pada tahun ini.

Syarikat penerbangan yang menyertainya termasuk AirAsia, Malindo Air, Air Busan (Korea Selatan), Condor Airlines (Jerman), China Airlines dan Royal Brunei Airlines, katanya.

“Dalam senarai kita, ada sebanyak lapan syarikat penerbangan (yang masih dalam peringkat perbincangan) namun (identiti syarikat) masih rahsia. Kita berharap akan ada syarikat penerbangan baharu dari Timur Tengah ke sini pada September depan," katanya selepas menyambut penerbangan sulung AirArabia ke Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin berkata menerusi JIDTP, syarikat berkenaan berharap untuk menarik lebih banyak syarikat penerbangan asing bukan saja ke Kuala Lumpur, tetapi ke lapangan terbang kecil di sekitar negara ini.

"MAHB akan terus menawarkan program sokongan lain untuk mendorong pertumbuhan dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan lain seperti badan-badan pelancongan dan pihak berkaitan menerusi misi serta program pemasaran bersama," katanya.

Artikel Berkaitan: