Rombak kurikulum: Beri prioriti subjek agama

Kamarozaman Abd. Razak
Kamarozaman Abd. Razak
A
A
A

PUTRAJAYA - Subjek pendidikan agama Islam wajar diberikan prioriti bukannya dikurangkan waktu dalam rancangan kementerian merombak kurikulum sekolah kebangsaan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd. Razak berkata, subjek agama Islam perlu dijadikan subjek utama kerana agama merupakan teras dalam kehidupan.

"Subjek agama mesti menjadi prioriti. Subjek agama lain di sekolah cina atau tamil kalau nak dibuat secara holistik bergantung kepada sekolah tersebut. Tapi di sekolah kebangsaan mesti ada subjek agama Islam dan dijadikan subjek utama," katanya.

Beliau memberikan reaksi tersebut terhadap kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang menyatakan kurikulum sekolah kebangsaan akan diubahsuai bagi memberi lebih masa kepada mata pelajaran yang 'berguna' dan tidak bertumpu kepada pembelajaran agama semata-mata.

Menurut laporan dari portal Malaysiakini, perdana menteri menyatakan pelajaran agama akan tetap diwujudkan tetapi bukan pada setiap waktu dalam sehari (persekolahan), mungkin satu atau dua waktu.

Kamarozaman berkata setakat ini, dua atau tiga masa untuk subjek agama di sekolah dalam sehari adalah seimbang dan tidak perlu dikurangkan dengan menggantikan subjek lain.

"Bukan soal masa yang banyak atau sedikit tapi yang penting adalah masa berkualiti bersama murid.

"Masa bersemuka antara ustaz dan ustazah bersama murid adalah lebih kritikal, sebab guru mesti banyak masa bersemuka bersama murid.

Artikel Berkaitan:

"Kalau satu masa iaitu 30 minit, ia tidak bermakna, sekadar melepaskan batuk di tangga," katanya.

Tegasnya, jika subjek agama dipendekkan, guru tidak mempunyai masa yang cukup untuk membimbing anak muridnya di sekolah.

"Ibu bapa pada hari ini terlalu sibuk dan tidak mempunyai masa untuk mengajar ilmu keagamaan kepada anak-anak mereka,"t egasnya.

Sebaliknya, beliau berpandangan, subjek lain yang ridak relevan pada pendidikan zaman sekarang perlu dikurangkan yang menjadi bebanan kepada murid-murid.

Beliau memberikan contohnya subjek Muzik, Pendidikan Seni, dan Reka Bentuk & Teknologi yang boleh dijadikan subjek bersepadu, begitu juga dengan subjek Pendidikan Jasmani dan kesihatan.

"Pada saya subjek agama tidak terlibat dalam bebanan murid, sebaliknya penting untuk pembangunan akidah umat Islam," tegasnya.

Jelasnya kurikulum pendidikan agama Islam yang perlu diubah melibatkan sama ada kurikulum tersebut berpaksi kepada murid atau hanya teori semata-mata.

"Kita tak mahu teori lebih kepada praktikal. Pendidikan Islam j-QAF adalah lebih baik kerana ia lebih kepada praktikal berbanding pendidikan Islam yang di ajar secara teori sahaja tanpa praktikal," katanya

Tambahnya sekiranya masa untuk pelajaran agama dirombak, masa depan anak-anak kita yang beragama Islam akan menjadi lebih sukar dibentuk bagi generasi akan datang.

Katanya, sukatan subjek agama yang perlu dirombak supaya selaras dengan wawasan untuk membentuk negara maju.