Baki RM264 dalam akaun bank SRC setakat Februari 2012: Saksi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu tentang fakta mengejutkan bahawa satu daripada akaun bank SRC International Sdn Bhd tinggal baki hanya RM264, bertentangan dengan dakwaan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Nik Faisal Ariff Kamil bahawa akaun itu masih ada baki RM16 juta.

Bekas pengarah bukan-eksekutf SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin, 68, bersetuju dengan hal itu selepas beliau ditunjukkan dokumen bagi satu akaun dengan nombor berakhir 650 oleh peguam bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Harvinderjit Singh.

Harvinderjit berkata hanya RM264 pada baki setakat 28 Februari 2012 dan Suboh adalah orang yang menandatangani akaun itu.

Bagaimanapun, satu lagi entri pada 29 Februari 2012 untuk satu akaun 'misteri' dengan nombor berakhir 736 menyatakan terdapat baki RM17,808.60.

Saksi pendakwaan ke-42 bersetuju dengan hal ini semasa disoal balas oleh Harvinderjit pada hari ke-32 perbicaraan Najjib berhubung pelesapan dana SRC sebanyak RM42 juta.

Semasa prosiding lepas, mahkamah mendengar keterangan daripada bekas pengerusi lembaga SRC International Tan Sri Ismee Ismail yang berkata bahawa Nik Faisal pada satu ketika memberitahu satu mesyuarat lembaga bahawa SRC International mempunyai RM16 juta dalam akauan.

Harvinderjit: Jadi wang pelaburan yang dikatakan, dilaburkan dalam usaha sama dengan Aabar Investments, saham dalam syarikat Gobi Coal and Energy Limited dan berjuta-juta dalam Julius Baer bank di Hong Kong, sama ada mana-mana wang ini pada ketika ini berada dalam bank anda tidak pasti?

Suboh: Ya.

Dalam responnya kepada perkara itu, Suboh berkata beliau percaya pengarah-pengarah SRC yang lain telah mengeluarkan wang itu tanpa beliau mengetahuinya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, saksi utama itu juga bersetuju dengan andaian Harvinderjit bahawa masa tiga bulan yang diambil bagi membuka akaun kedua SRC adalah terlalu lama.

Peguam itu juga merujuk kepada dua Resolusi Pekeliling Pengarah (DCR) lembaga pengarah SRC yang telah memutuskan membuka satu akaun untuk SRC dalam satu mesyuarat pada 23 Ogos 2011 tetapi hanya dibuka tiga bulan kemudian pada November 2011.

Harvinderjit: Melihat pada folder ini, dua DCR ini menyentuh mengenai pembukaan satu akaun pada Ogos tetapi ia hanya dibuka lewat tahun itu, mengapa kelewatan itu Datuk tak tahu?.

Suboh: Tidak.

Harvinderjit: Saya percaya anda tidak ada melihat kenyataan bagi akaun ini?

Suboh: Tidak.

Kepada soalan oleh Harvinderjit sama ada beliau sedar bahawa 1MDB pada satu ketika memohon pinjaman RM3.95 bilion bagi membentuk SRC, saksi menjawab beliau tidak tahu tentang permintaan itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung pada 8 Julai.