PEKA anjur himpunan desak pindaan Akta Perhutanan Negara

Shariffa Sabrina
Shariffa Sabrina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) akan mengadakan satu himpunan aman di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 18 Julai ini bagi mendesak pindaan terhadap Akta Perhutanan Negara.

Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, satu memorandum berkaitan desakan tersebut akan dihantar kepada kerajaan dalam himpunan berkenaan.

“Kita melihat Akta Perhutanan Negara sudah lapuk dan perlu dipinda kerana isu berkaitan hutan semakin serius dengan kemusnahan yang berleluasa.

“Antara tuntutan kita ialah hal berkaitan hutan tidak lagi diletakkan di bawah kuasa kerajaan negeri, sebaliknya biar kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab terhadap hutan,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

PEKA akan mengadakan satu himpunan aman 18 Julai ini bagi mendesak pindaan terhadap Akta Perhutanan Negara.
PEKA akan mengadakan satu himpunan aman 18 Julai ini bagi mendesak pindaan terhadap Akta Perhutanan Negara.

Beliau mendakwa, banyak hutan yang musnah disebabkan sikap sesetengah kerajaan negeri yang hanya mahu mengaut keuntungan.

“Ada negeri yang nak buat duit cepat dan melakukan aktiviti pembalakan secara berleluasa. Jika akta ini tidak diperbaharui, kita bimbang lebih banyak hutan akan dimusnahkan.

“Sudah tiba masanya kerajaan Persekutuan mengambil serius hal ini. Hanya dengan pindaan akta, hutan kita dapat diselamatkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Shariffa Sabrina berkata, pihaknya berharap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri akan menerima memorandum tersebut.

Menurutnya, himpunan yang turut mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar yang lain telah mendapat permit dan kelulusan daripada polis serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Justeru, kita mengundang semua rakyat Malaysia yang sayangkan hutan dan negara kita untuk sama-sama hadir memberikan sokongan,” katanya.