Ajal cari durian dalam hutan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan cedera pada muka selepas dilaporkan sesat di hutan Kampung Pisang Jalong Tinggi, Sungai Siput di sini petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan Mohd Saiful Azizi Murad, 38, daripada anggota keluarganya yang tinggal berhampiran pada pukul 9.02 pagi tadi.

"Kami mengerahkan seramai lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput ke lokasi kejadian bagi kerja-kerja mencari dan menyelamat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mayat lelaki itu ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi terakhir dikesan pada kira-kira pukul 2.47 petang tadi.

Katanya mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan telah dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin ketika dihubungi berkata siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada anggota keluarga mangsa pukul 11 malam tadi selepas beberapa hari tidak pulang ke rumah.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sendiri dikatakan selalu memasuki hutan itu untuk mencari durian manakala isterinya masih berada di hospital kerana baru melahirkan bayi.

Artikel Berkaitan:

"Susulan itu, satu pasukan ditubuhkan bagi mencari mangsa yang turut dianggotai pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam," katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk dibedah siasat. - Bernama