Ceroboh perairan negara: Nekmat sokong denda hingga RM6 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) menyokong pindaan terhadap Akta Perikanan 1985 yang akan memperuntukkan denda maksimum kepada nakhoda vesel asing yang menceroboh perairan Malaysia dinaikkan dari RM1 juta kepada RM6 juta.

Pengerusi Nekmat, Abdul Hamid Bahari berkata, Rang Undang-undang Akta Perikanan (Pindaan) 2019 yang dibaca oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub di Parlimen hari ini amat disokong bagi menangani isu pencerobohan nelayan asing di perairan Malaysia.

"Ini kerana sebelum ini terdapat pelbagai rungutan dan keluhan dari nelayan tempatan berkaitan pencerobohan vesel penangkapan ikan milik nelayan asing yang menceroboh perairan negara hingga mengganggu hasil pendapatan dan keselamatan mereka.

"Denda maksimum ke atas vesel penangkapan ikan milik nelayan asing yang menceroboh perairan ini akan membela nasib masyarakat nelayan dan menjaga 'periuk nasi' mereka yang selama ini dicerobohi nelayan asing. Selain pendapatan mereka tidak terganggu, keselamatan mereka daripada nelayan asing juga tidak dibimbangi lagi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hari ini, Salahuddin membentangkan RUU Perikanan (Pindaan) 2019 bertujuan menaikkan penalti am bagi kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, bagi bacaan kali pertama selepas sesi soal jawab lisan.

ARTIKEL BERKAITAN: Denda maksimum RM6 juta jika ceroboh perairan negara

Menurut Abdul Hamid, pindaan akta itu juga menunjukkan keluh kesah nelayan selama ini mengenai pencerobohan nelayan asing didengari oleh kerajaan amnya dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani khususnya.

"Saya mewakili seluruh masyarakat nelayan mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan kerana bersama-sama menjaga sumber laut di perairan negara selain kebajikan nelayan-nelayan tempatan," katanya.

Artikel Berkaitan: