34 kilang diperiksa, terima notis arahan

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar pada sidang media.
Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar pada sidang media.
A
A
A

PASIR GUDANG - Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pemeriksaan ke atas 34 buah kilang di sekitar kawasan Pasir Gudang di sini menerusi operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi semalam.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, hasil serbuan, semua kilang berkenaan menerima notis arahan bagi mematuhi segala perundangan alam sekitar terutama dalam menangani masalah bau dan pelepasan gas ke udara.

“Sebanyak enam premis telah dikenakan kompaun, dua premis dikenakan penahanan operasi dan dua premis dikenakan syor tindakan mahkamah.

“Secara keseluruhan, pemantauan berterusan pihak JAS telah mengambil tindakan penjejakan dan penyiasatan kepada 153 premis industri bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar Dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon.

Mohd Khuzzan berkata, setakat ini, bagi kesalahan buangan terjadual, sebanyak 73 kompaun dikeluarkan diikuti efluen perindustrian (10), bilangan notis arahan (11) dan perintah tahan operasi (tujuh).

Selain itu, katanya, sehingga jam 12 tengah hari tadi, tiada pesakit baharu dimasukkan ke dalam wad menjadikan keseluruhan mangsa yang berada di wad hanya seorang sahaja dan berada dalam keadaan stabil.

“Sebanyak 38 pelajar dari sembilan buah sekolah mengalami masalah kesihatan iaitu Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Madrasah Alattas, SMK Tanjung Puteri Resort, SMK Desa Jaya, SK Kong Kong Laut, SK Permas Jaya 4, SK Ulu Tiram, SK Taman Scientex, SK Taman Rinting 3 dan SK Kota Masai.

Artikel Berkaitan:

“Namun begitu, sesi persekolahan masih diteruskan seperti biasa dan dijalankan di arah bawah sekolah berkenaan memandangkan semua mangsa yang mengalami simptom berada di aras 3 dan 4 sekolah-sekolah yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata, pihak pentadbiran sekolah telah diarahkan membuka pintu dan tingkap di aras atas bagi tujuan pengaliran udara dan pasukan petugas pemantauan kualiti udara masih meneruskan operasi secara serentak di 100 buah sekolah pada hari ini.

Mohd Khuzzan turut menyeru orang ramai yang melihat atau mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan berkenaan pembuangan sisa toksid secara haram untuk membuat aduan kepada JAS menerusi talian bebas tol 1800882727 atau eaduan.doe.gov.my.

“Untuk sebarang pertanyaan dan pengesahan maklumat, sila hubungi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang di talian 07-2513444 atau Pusat Gerakan Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor di takian 07-3310860 atau Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) 07-2511024,” katanya.