Pakar yakin punca kecederaan akibat tendangan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Saksi ke-29 Inkues Kematian Muhammad Adib Mohd Kassim yakin 80 hingga 90 peratus kecederaan di dada kanan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akibat tendangan oleh individu pada pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Perunding Kanan Patalogi Forensik United Kingdom, Profesor Dr Shahrom Abd Wahid berkata, pihaknya telah meneliti pelbagai aspek termasuklah memeriksa EMRS dan jentera bomba Fire Rescue Tender (FRT).

"Saya mendapati hanya objek pada pintu EMRS yang sepadandengan kecederaan dialami Muhammad Adib.

“Saya yakin 80 hingga 90 peratus berhubung kecederaan di dada adalah disebabkan itu," katanya.

Menurutnya, hanya ujian Asid Deoksiribinukleik (DNA) pada pintu van EMRS tersebut yang mampu membuktikan sepenuhnya (teori itu) sekiranya terdapat penemuan DNA milik Muhammad Adib.

"Yang sepatutnya melakukan ialah pihak Jabatan Kimia, Hospital Kuala Lumpur dan polis," katanya.

Pada prosiding itu, Dr Shahrom berkata, kecederaan tidak dapat dikesan sekiranya proses bedah siasat tidak dilakukan dengan betul.

"Mana-mana tulang rusuk yang patah haruslah diperiksa satu persatu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, prosedur itu perlu dilakukan untuk mendapatkan punca.

“Tapi dalam hal ini, mungkin buat (bedah siasat) dalam tekanan,” katanya.

Prosiding hari ke-38 di hadapan Koroner Rofiah Mohamad ditangguhkan dan bersambung esok.

Muhammad Adib parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.