Jumper kontemporari karya Sandra Azwan

KOLEKSI jumper sentuhan Sandra Azwan antara item fesyen yang wajib ada di dalam almari kaum Adam pada hari ini.
KOLEKSI jumper sentuhan Sandra Azwan antara item fesyen yang wajib ada di dalam almari kaum Adam pada hari ini.
A
A
A

MENGAMBIL definisi dalam kamus fesyen di United Kingdom, istilah jumper ataupun sweater (baju panas) sebenarnya merujuk pada baju yang diperbuat daripada benang bulu atau gentian buatan.

Bagaimanapun, di Amerika Syarikat pula sebaliknya. Jumper dikenali sebagai dres separa lutut atau sut panjang polos tanpa lengan yang lazimnya dipakai dengan baju-T, blaus atau baju panas.

Sehubungan itu, sepertimana pakaian dan pelengkap gaya lain melalui evolusi fesyen sejajar peredaran zaman, koleksi jumper tidak terkecuali.

Jika sebelum ini, baju tersebut hanya bertindak memanaskan badan pada musim sejuk, kini ia antara item fesyen yang wajib ada di dalam almari kaum Adam.

Selain ideal dipraktikkan konsep suai padan bersama jaket atau kot, baju panas berkenaan boleh dipakai begitu sahaja dengan celana denim atau seluar paras lutut mengikut keselesaan empunya badan.

Memahami cita rasa golongan jejaka yang sentiasa mendambakan pakaian old school dalam sentuhan moden dan ringkas, pereka muda, Sandra Azwan tampil dengan koleksi fesyen baharu di bawah jenama JR MOEP by Sandra Azwan.

Ia berasaskan material neoprene dan kulit polyurethane (PU). Secara ringkasnya, neoprene merupaka sejenis fabrik dalam keluarga getah sintetik yang dihasilkan daripada polymerization chloroprene manakala kulit PU pula jenis kulit sintetik yang diperbuat daripada bahan imitasi.

Rekaan kontemporari

Artikel Berkaitan:

Menurut Sandra, sebahagian besar lelaki ingin kelihatan berbeza, tetapi pada masa sama enggan keterlaluan dalam bab berfesyen.

Justeru, koleksi JR MOEP by Sandra Azwan antara pilihan bersesuaian kerana konsep rekaannya sealiran trend terkini. Koleksi eksklusif pramusim luruh 2019 edisi terhad berkenaan menampilkan helaian jumper konsep kontemporari, eksklusif, ringkas, praktikal dan moden.

"Pakaian lelaki pertama di bawah jenama JR MOEP ini khas buat golongan lelaki yang meminati gaya kontemporari. Setiap rekaan tampak segar apabila menerapkan corak geometri dan seni bina.

"Bukan itu sahaja, koleksi sedia pakai itu turut menampilkan potongan kolar bulat untuk menyuntik stail yang lebih urban, santai dan mudah digayakan," katanya dalam satu kenyataan kepada e-Trend baru baru ini.

Bicara lanjut, graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen daripada Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor tersebut menjelaskan, setiap rekaan diperhalusi dengan kemasan dan lipatan bias tape piping.

"Ia termasuklah, bereksperimentasi menggunakan fabrik pada setiap cantuman panel yang bertujuan menghasilkan corak garisan abstrak geometri ilham daripada seni bina kontemporari," katanya.