MBM gesa kerajaan semak semula pindaan RUU Akta 668

Jufitri Joha
Jufitri Joha
A
A
A

SHAH ALAM - Majoriti badan gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) serta belia akar umbi menghantar satu memorandum khas bagi menggesa kerajaan menyemak semula Rang Undang-Undang (RUU) Akta 668 Pindaan 2019 berkaitan had umur belia.

Presiden MBM, Jufitri Joha berkata, memorandum tersebut diserahkan di Parlimen hari ini bagi menuntut keadilan dan menyelamatkan nasib semua pertubuhan belia.

Beliau berkata, pihaknya kesal serta terkilan kerana selaku rakan strategik utama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam pembangunan belia negara, pindaan terhadap RUU tersebut dibuat tanpa persetujuan terakhir bersama MBM.

"Sedangkan MBM adalah pihak yang bakal terkesan langsung dengan pindaan ini khususnya berkaitan pindaan had umur belia.

"Kali terakhir MBM dan KBS bermesyuarat berkenaan hal ehwal ini adalah pada 16 April 2019, namun belum dimuktamadkan dan masih belum mencapai apa-apa persetujuan bersama sehinggalah saya mengetahui perkara ini pada Isnin lalu iaitu hari yang sama pindaan RUU Akta 668 dibentangkan," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurutnya, ​draf terakhir pindaan Akta 668 sewajarnya dibentangkan secara rasmi kepada pimpinan MBM untuk persetujuan terakhir bersama sebagaimana yang dilakukan oleh menteri KBS kepada ahli-ahli Parlimen. ​ ​

Katanya, ​solusi transisi perubahan had umur yang lebih disenangi dan diterima oleh semua pihak telah pun diberikan MBM yang dipersetujui menteri KBS sendiri ketika ucapan Hari Belia Negara 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu 15 hingga 35 tahun.

"Had 15-35 tahun adalah solusi terbaik dan munasabah yang diterima oleh semua badan gabungan MBM untuk dilaksanakan dan paling penting had umur itu adalah bagi memastikan transisi kepimpinan berlaku secara sukarela, lancar dan tidak menyebabkan lebih banyak pertubuhan belia di akar umbi mati kerana ia melibatkan soal memimpin dan mengurus.

Artikel Berkaitan:

"Sebahagian pertubuhan belia yang bersedia telah menyahut seruan memberikan laluan kepada kepimpinan di bawah 30 tahun. Ia dilihat berkesan dan harmoni apabila ia dilakukan secara sukarela berbanding dipaksa-paksa melalui undang-undang," katanya.

Jufitri berkata, MBM komited menjayakan hasrat meremajakan MBM dan pertubuhan belia, selain memerlukan usaha-usaha sokongan bersepadu menjayakan agenda ini termasuk membenarkan secara besar-besaran pertubuhan belia masuk ke sekolah-sekolah, latihan pengkaderan kepimpinan muda yang lebih agresif dan penubuhan Lembaga Kerja Belia Profesional.

Namun katanya, usaha-usaha yang mendukung peremajaan ini masih belum dilihat dibuat secara agresif,bahkan amat dikesali apabila seksyen penubuhan Lembaga Kerja Belia Profesional digugurkan dalam pindaan RUU Akta 668 kali ini.

"Dengan memorandum yang dihantar, MBM sedia dan terbuka berunding untuk isu pindaan ini dan komited untuk terus memperjuangkan isu-isu kepentingan belia... kita yakin kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad akan mendengar dan menangani permintaan ini," katanya.