Sekolah pelbagai aliran halang capai perpaduan kaum

Dr S Ramakrishnan
Dr S Ramakrishnan
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sistem pendidikan atau persekolahan yang berbeza serta pelbagai aliran telah menyukarkan usaha kerajaan untuk meningkatkan semangat perpaduan kaum di negeri ini.

Exco Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr S Ramakrishnan berkata, perbezaan parti politik yang berasaskan kaum di negara ini turut menyukarkan usaha ke arah penyatuan masyarakat.

"Ini kerana setiap parti politik ini sentiasa mahu menyuarakan dan memperjuangkan kepentingan politik dan kaum masing-masing sahaja.

“Dalam masa sama, media sosial pula sering disalah gunakan untuk menyebarkan fitnah atau isu, terutama isu yang sensitif yang boleh menjejaskan hubungan kaum,” katanya.

Ramakrishnan (PH-Bekok) berkata demikian ketikan menjawab soalan Ayub Jamil (BN-Rengit) tentang perkara yang menghalang kemantapan hubungan kaum di Johor semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, meskipun berdepan dengan cabaran itu, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah untuk menyemai semangat perpaduan.

"Antaranya dengan merangka Pelan Strategik Perpaduan 2017-2020 sebagai kerangka jangka panjang untuk memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional dalam masyarakat majmuk Malaysia.

“Pelan ini diwujudkan sejajar dengan Rancangan Malaysia Kesebelas bagi memenuhi kehendak pemegang taruh (stakeholders) dan pelanggan, berdasarkan persekitaran semasa dan jangkaan akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Ia turut menetapkan enam teras utama untuk mendokong ke arah memelihara dan memantapkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat iaitu dengan membudayakan perpaduan, memupuk semangat patriotisme, memperkasakan khidmat komuniti dan lain-lain,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, kerajaan negeri sentiasa melaksanakan kajian dan penambahbaikan untuk memastikan pelaksanaan Program Kad Sihat Johor supaya kekal relevan dan memenuhi keperluan golongan B40 di seluruh negeri dan akan memperluas golongan penerima manfaat semasa ke semasa.

"Kerajaan negeri akan meneruskan inisiatif Kad Sihat bagi tahun akan datang sebagaimana manifesto 100 hari kerajaan negeri.

"Namun begitu, permohonan untuk mendapatkan kad tersebut perlu dilakukan setiap tahun oleh pemohon untuk mendapatkan manfaatnya secara berterusan," katanya ketika menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Skudai) berkenaan pelaksanaan Kad Sihat Johor.