Tanaman 5 tahun musnah sekelip mata

Gambar hiasan.
A
A

DUNGUN - Dua pekebun ladang kelapa sawit di Bandar Al-Muktafi Billah Shah di sini kerugian hampir RM30,000 selepas seekor gajah jantan liar menceroboh kawasan itu yang telah diusahakan lima tahun lepas.

Gajah jantan yang dianggarkan seberat lebih satu tan itu mula menceroboh kebun mereka sejak seminggu lepas dan dipercayai berasal dari kawasan hutan di Hulu Paka berhampiran kawasan yang diusahakan pekebun berkenaan.

Seorang pekebun, Awang Ibrahim, 66, berkata tanaman mereka menjadi sasaran gajah terbabit yang gemar memakan 'umbut' dalam batang kelapa sawit.

Kejadian itu hanya disedari Rabu lepas apabila beliau datang bersama isteri untuk membersihkan kebun sawit mereka yang berkeluasan sekitar empat hektar.

"Habis 130 pokok kelapa sawit kami musnah selepas serangan itu menyebabkan kerugian hampir RM20,000.

"Ini sudah masuk kali kedua kejadian serangan gajah di kebun kami dan sebelum ini pun sudah 60 pokok musnah dikerjakannya. Jadi kami amat berharap pihak berkenaan dapat membantu menyelesaikan masalah ini sebelum ia memusnahkan semua tanaman," katanya.

Sementara itu, rakannya Nawi Ahmad Bongsu, 66, berkata walaupun menghabiskan masa seharian di kebun, dia tidak pernah terserempak dengan gajah berkenaan.

Oleh itu, beliau percaya haiwan itu menceroboh pada waktu malam menyebabkannya kerugian kira-kira RM10,000.

"Sedih sungguh apabila melihat usaha selama lima tahun musnah dalam satu malam sahaja. Sudah beribu wang saya habis digunakan untuk menanam dan membaja tanaman ini supaya membuahkan hasil.

"Saya juga takut untuk masuk ke kebun sekarang kerana bimbang terserempak dengannya (gajah). Bayangkan kalau ia tiba-tiba naik minyak memang nahaslah jawabnya," katanya.

Dia berkata pihaknya telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berhubung perkara itu dan berharap tindakan segera dapat dilakukan bagi mengelak kerugian lebih besar serta kejadian tidak diingini pada masa hadapan. - Bernama