Jangan pandang rendah golongan OKU - Mohammad Shatar

Mohammad Shatar
A
A

(Siri kedua)

DALAM hidup bermasyarakat, nilai-nilai murni seperti saling menghormati perlu diterapkan untuk semua golongan tanpa mengira latar belakang dan status.

Pakar Sosial, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, setiap individu baik yang sempurna mahupun orang kelainan upaya (OKU), dinasihatkan supaya tidak memandang rendah antara satu sama lain.

"Masing-masing mempunyai peranan dari segi keupayaan, kepakaran, kreativiti dan inovasi tersendiri dalam membantu memajukan komuniti. Ia umpama membina sebuah bangunan yang mana setiap individu itu mewakili batu bata. Jika salah satu batu digunakan tidak berfungsi, maka struktur binaan tidak sempurna dan kukuh.

"Atas faktor tersebut, kita perlu menghakis persepsi negatif. Sebaliknya, menyemai nilai positif terhadap setiap ahli masyarakat termasuk golongan OKU. Lagipun, harus disedari berkat sokongan dan kerjasama antara satu sama lain, kita akan melahirkan kelompok masyarakat yang maju dan membangun,” katanya ketika dihubungi e-Trend baru-baru ini.

Mohammad Shatar merangkap Naib Canselor UPSI menambah, bagi memastikan kelompok OKU dihormati dan diterima khalayak, ahli keluarga dan teman rapat harus memainkan peranan utama terlebih dahulu.

Ujar beliau, keluarga dan sahabat perlu sentiasa memberikan sokongan moral dan emosi kepada golongan terbabit yang kadangkala mengalami tekanan dek kecacatan dialami.

"Mereka tidak pernah meminta dilahirkan sedemikian. Justeru, adanya sokongan padu yang berterusan daripada ahli keluarga khususnya secara tidak langsung menjadi pemangkin buat golongan OKU untuk gigih bekerja setara individu normal.

"Selain itu, sentiasa ‘ringan mulut’ mengucapkan terima kasih dan tahniah apabila mereka berjaya mencipta sesuatu waima kejayaan kecil sekalipun kerana bukan mudah bagi seseorang yang kurang sempurna bertindak seperti golongan sempurna,” jelasnya yang turut mengagumi keupayaan dua sahabat OKU, Mohd Afiq Barni, 30, dan Hairul Anuar Abu Bakar, 42, yang mencipta alat Hand-Drive Controller untuk membantu golongan senasib memandu kereta.

Sebelum mengakhiri perbualan, Mohammad Shatar menitipkan bicara terhadap kelompok OKU.

"Jangan sesekali berasa rendah diri dengan kekurangan yang dimiliki. Anda seharusnya gembira dan bersyukur kerana antara individu terpilih keistimewaan daripada Allah. Pada masa sama, usah jadikan ketidaksempurnaan itu penyebab meletakkan anda sentiasa berada di barisan belakang.

"Semua manusia tidak sempurna. Misalnya, mengalami kekurangan dari segi fizikal cuba melonjakkan diri pada tahap yang tinggi dengan menggunakan pemikiran kreatif dan sifat berdaya saing.

"Ayuh, buktikan anda juga boleh menghasilkan sesuatu yang inovatif dan memberi sumbangan bermanfaat terhadap masyarakat, agama dan negara,” tegasnya.