Muip buru individu liat bayar zakat

Wan Abdul Wahib (kiri) menunjukan kaedah mudah pembayaran zakat menerusi talian pada program itu, hari ini.
Wan Abdul Wahib (kiri) menunjukan kaedah mudah pembayaran zakat menerusi talian pada program itu, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) mengesan kira-kira 23,500 individu dikesan kerana gagal mengembalikan maklumat pendapatan masing-masing tahun lalu selepas tempoh yang ditetapkan.

Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, melihat kepada jumlah tersebut, pihaknya akan melaksanakan penguatkuasaan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 iaitu Seksyen 24 (enggan memberi taksiran pendapatan) dan Seksyen 40 (tidak membayar zakat atau fitrah).

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan itu sudah berlangsung sejak bulan April lalu dengan menghantar surat peringatan pertama.

“Surat peringatan itu (pertama) sudah diberikan kepada 218 individu dari kalangan pegawai atau eksekutif yang tidak mengemukakan maklumat pendapatan masing-masing dalam tahun 2018.

"Peringatan kedua telah dihantar kepada individu yang gagal memberikan maklumat balas kepada Pusat Kutipan Zakat (PKZ) pada 10 Jun lalu.

“Jika masih lagi gagal mendapatkan maklum balas itu PKZ akan menyerahkan nama-mana mereka ini kepada Muip untuk dihantar kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada majlis Jamuan Aidilfitri Muip di Al Dante Pasta Palace hari ini.

Mengulas lanjut mengenai peruntukan undang-undang, Wan Abdul Wahid berkata, di bawah Seksyen 24 dan Seksyen 40 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013, individu yang enggan memberi taksiran pendapatan mereka dan tidak membayar zakat atau fitrah boleh didenda dan penjara.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, jika didapati bersalah di bawah Seksyen itu, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun ataupun kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Wan Abdul Wahid berkata, Muip akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program Wajib Taksir Zakat (WTZ) kepada umat Islam di negeri ini tahun lalu.

Katanya, pihak PKZ sudah mengenal pasti tiga kumpulan sasar bagi pelaksanaan WTZ pada tahun ini.

“Kalau tidak silap saya kumpulan yang terlibat ialah penjawat awam, badan berkanun dan swasta melalui majikan yang tidak memberi respon dalam pusingan pertama WTZ pada tahun lalu.

"Setakat ini, 502 majikan daripada 1,033 majikan telah memberikan respon dengan menghantar maklumat kakitangan berjumlah 37,075.

“Daripada jumlah itu, 15,365 didapati belum mempunyai rekod di PKZ," katanya.