Dewan kecoh, Tajuddin 'berperang' dengan Nga Kor Ming

A
A

1. Dewan kecoh, Tajuddin 'berperang' dengan Nga Kor Ming

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman diarahkan keluar Dewan Rakyat hari ini dan digantung selama empat hari.

Ia berikutan keingkarannya mematuhi arahan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming supaya tidak mengganggu persidangan Dewan.

Isu tercetus lantaran Tajuddin tidak berpuas hati setelah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Salahuddin Ayub, tidak menjawab soalannya mengenai inisiatif program, sebaliknya mewakilkan Timbalannya, Sim Tze Tzin.

Akibat daripada tindakan Tajuddin yang tidak henti meluahkan rasa tidak puas hatinya, dan memakan masa yang lama, Kor Ming tidak membenarkan Ahli Parlimen Pasir Salak itu meneruskan peluang bertanyakan soalan tambahan.

Ia sekaligus memuncakkan lagi rasa tidak puas hati Tajuddin, sehingga perang mulut kedua-dua individu itu berlanjutan hampir 15 minit.

Akhirnya Kor Ming menggunakan Peraturan Mesyuarat 44 (2) untuk menghalau Tajuddin keluar selama dua hari.

Namun disebabkan masih enggan meninggalkan sidang mesyuarat, Kor Ming memerintahkan tempoh penggantungan itu dari dua hari menjadi empat hari.

Sumber Video: Kini TV

2. Mat Sabu perjelas maksud 'we can't fight them'

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan beliau tidak sesekali memperkecilkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ekoran ungkapan ‘we can’t fight them’, dimana beliau berucap pada Sidang Kemuncak Keselamatan Asia Ke-18 di Singapura baru-baru ini.

Tambahnya, Malaysia sentiasa mengamalkan konsep diplomasi dan berkecuali dalam isu membabitkan negara luar bagi mengelak negara terjerumus ke kancah peperangan.

"Sejak dahulu lagi Malaysia mengamalkan konsep dasar dua hala dengan negara luar.

"Maksud 'fight' ialah berperang. Adakah kita bersedia untuk berperang terutamanya dengan negara kuasa besar.

Katanya lagi, jalan diplomasi itu juga yang telah diajarkan oleh bekas ketuanya sebelum ini.

Ia merujuk kepada bekas pemimpin beliau dahulu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, iaitu kita dahulukan pendamaian daripada peperangan.

Sumber Video: Kini TV

3. 'Lari ikut kekasih antara punca kes remaja hilang'

Lari mengikut kekasih antara lima punca utama kes kanak-kanak dan remaja hilang di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, selain itu antara punca utama adalah berpunca daripada mencari kebebasan diri daripada belenggu keluarga, mengikut ajakan rakan, pertelingkahan keluarga dan tidak minat belajar dan mahu bekerja.

"Kes kebanyakan lari mengikut kekasih menunjukkan wanita tiga kali ganda daripada lelaki," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut beliau yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri berkata, dari segi jumlah kehilangan kanak-kanak dan remaja yang dilaporkan hilang mengikut statistik Polis di Raja Malaysia (PDRM) , bagi tahun 2011 sehingga Mei 2019 adalah berjumlah 15,042 orang.

"Dengan pecahan mengikut negeri yang tertinggi ialah Johor sebanyak 2,372 kes, Selangor 1,911 kes, Kedah 1,526 kes dan Sabah 1,488 kes dan Perlis paling kecil dengan 298 kes,"

Sebanyak 15,042 kehilangan ini sebanyak 14,679 orang telah dijumpai semula, manakala 363 yang hilang masih belum ditemui malangnya 26 ditemui mati,".

4. Mufti sokong ahli Parlimen isytihar harta

Tindakan mengisytiharkan harta pemimpin sesuai dengan ajaran Islam kerana ia mendukung nilai-nilai keadilan yang menggalakkan pemerintah dan pemimpin bersikap telus dan amanah.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, Islam mendukung nilai integriti yang menggalakkan pemimpin lebih bertanggungjawab, terutama berkait rapat dengan harta benda awam yang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memeliharanya.

Sekiranya pemimpin ingin menjadi contoh kepada rakyat, mereka perlu berani mengisytiharkan harta yang mereka miliki.

Dengan tindakan itu, ia menjadikan suasana negara bertambah baik dan dapat mengeratkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat kerana wujud sikap saling percaya mempercayai antara satu sama lain.

Sementara itu, Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula berpandangan, pemerintah berhak menentukan kaedah yang diyakini terbaik dalam memastikan integriti dan urus tadbir yang baik.

Jelas beliau, semua pihak perlu memahami bahawa Islam bersifat luas termasuk dalam soal pentadbiran.

Jangan kita jumud dan mempergunakan dalil-dalil agama sehingga menyempitkan ruang politik yang diluaskan oleh syarak.

5. Berenang di Infinity London pertama di dunia

Dengan ketinggian Aras 55 tingkat, sebuah Kolam renang infiniti rooftop yang pertama di dunia akan dibina di bangunan pencakar langit di kota London.

Ini bermakna, pengunjung boleh menikmati pemandangan 360 darjah sekitar kota London sambil berenang di kolam tersebut.

Cadangan menara yang dipanggil Infinity London itu dilengkapi dengan kolam renang yang memuatkan 600,000 liter air di bahagian atasnya.

Kolam tersebut yang direka oleh Compass Pools akan berada pada ketinggian 200 meter di udara.

Bagaimanapun, lokasi bangunan itu masih belum ditentukan.

Dinding kolam tersebut akan diperbuat daripada akrilik dan bukannya kaca kerana ia boleh memancarkan gelombang cahaya yang sama dengan air, menjadikan kolam itu kelihatan jernih sempurna.

Lantai kolam renang itu juga akan dibina jernih sekali gus membolehkan pelawat di bahagian bawah kolam tersebut melihat mereka yang berada di atas.

Sementara, di tingkat teratas bangunan itu direka untuk menempatkan sebuah hotel lima bintang, kedai mewah, kediaman dan spa.

Kolam tersebut hanya akan dibuka kepada pemilik kediaman dan tetamu hotel serta spa.

Pembinaan kolam itu akan mula dilaksanakan pada tahun 2020.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia