Inovasi hebat Mohd Afiq, Hairul Anuar

A
A
A

(Siri satu)

DUA sahabat orang kelainan upaya (OKU) membuktikan kecacatan bukan penghalang untuk mereka berbakti kepada golongan senasib apabila mencipta alat Hand-Drive Controller (HDC).

Hairul Anuar Abu Bakar, 42, dan Mohd Afiq Barni berkata, HDC antara lain membantu OKU memandu kereta.

Menurut Mohd Afiq, syarikat Double A Project Enterprise yang ditubuhkan pada Januari 2017 telah memasarkan 70 unit HDC kepada golongan OKU di seluruh negara setakat ini.

Mohd Afiq yang merupakan pereka grafik berkelulusan Diploma dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) manakala Hairul Anuar merupakan pakar mekanik kenderaan, kedua-duanya mengalami kecacatan saraf tulang belakang.

Mohd Afiq mengalami kecacatan itu akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2013 manakala Hairul Anuar pula akibat terjatuh dari bangunan pada 2008.

"Saya mencipta alat untuk memandu iaitu HDC bagi golongan OKU kerana mahu melihat mereka dapat memandu kenderaan (kereta) dan berdikari tanpa bantuan orang luar,” kata Mohd Afiq kepada Bernama baru-baru ini.

Bantu OKU lain

Artikel Berkaitan:

Di sebuah bengkel yang disewa di Larkin, Johor Bahru, dua sahabat itu sedaya upaya membantu golongan OKU untuk berdikari kerana menyedari antara halangan yang dihadapi golongan tersebut adalah untuk bergerak ke sesuatu tempat menyebabkan kesukaran bagi mereka bekerja mencari rezeki.

HDC yang dicipta oleh mereka jenis kekal dan boleh ubah. Alat itu dipasang mengikut tahap kecacatan dan kenderaan pelanggan. HDC keluaran mereka amat sesuai untuk semua jenis kecacatan seperti kecederaan saraf tunjang, tiada kaki kiri atau kanan, tiada tangan kanan atau kiri malah orang kerdil boleh menggunakannya.

"Rekaan HDC kami bergantung kepada laporan doktor contohnya jika pesakit itu mengalami lumpuh tulang belakang, disyorkan untuk memandu di mana mereka boleh mengawal brek dan minyak menggunakan pedal di tangan," kata Mohd Afiq.

Beliau berkata, maklum balas daripada pelanggan mendapati mereka sangat berpuas hati dengan kualiti produk tersebut dan khidmat selepas jualan. Lelaki itu menambah, pelanggan juga tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka kerana HDC mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa seperti Puspakom Sdn Bhd dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

"HDC ini akan direka mengikut laporan doktor mengenai kecacatan yang dihadapi oleh pelanggan dan selepas pemasangan, pihak syarikat akan membawanya ke JPJ untuk pengesahan sebelum pelanggan membawanya ke Puspakom bagi pemeriksaan dan pengesahan," katanya.

RISE

Di sebalik kejayaan itu, terdapat pelbagai cabaran bagi dua sahabat OKU itu berniaga. Antaranya ketika mereka memasang HDC di kenderaan yang mana setiap kenderaan adalah berbeza tahap pemasangannya.

"Kadang-kadang peralatan yang agak terbatas apabila pemasangan dilakukan di rumah pelanggan," kata Mohd Afiq.

Namun, atas sifat keusahawanan yang tinggi dan sentiasa ingin berjaya, mendorong Mohd Afiq dan Hairul Anuar menyertai program Reach Independence and Sustainable Entrepreneurship (RISE).

RISE merupakan program anjuran Yayasan Maybank dan People Systems Consultancy iaitu badan berperanan membasmi kemiskinan di rantau ini pada 2018.

"RISE banyak mengajar tentang ilmu perniagaan yang mana kami diajar bagaimana untuk menguruskan peniagaan seperti kewangan, pemasaran dan bagaimana hendak mempromosikan sesuatu produk menggunakan pelbagai medium pengiklanan," katanya.

Mengakui program RISE amat berkesan dalam perniagaan, mereka bercita-cita untuk mewujudkan bengkel sehenti OKU yang mana pelbagai perniagaan seperti bengkel kereta, bengkel pemasangan HDC, bengkel besi, pusat mencuci kenderaan, pusat kursus perniagaan dan keusahawanan akan terlaksana dengan pekerjanya terdiri daripada kalangan OKU pada suatu hari nanti.