33 pelajar, guru MRSM Kuala Kubu Bharu dijangkiti influenza B

Seramai 33 pelajar dan guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu disahkan dijangkiti influenza B.
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan 33 pelajar dan guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu dijangkiti influenza B.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, kes pertama direkod petang 14 Jun lalu.

Menurutnya, 13 orang mendapatkan rawatan pesakit luar, namun tidak ada yang dimasukkan ke hospital.

"Sebelum ini pelajar dan guru terlibat mengalami simptom demam, batuk, selesema, muntah, cirit birit dan pening.

"Faktor penyumbang kepada penularan penyakit adalah pergaulan rapat antara pelajar di kelas dan di asrama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, status semua kes dilapor stabil sehingga 30 Jun lalu dan tiada kes baharu dilapor hingga hari ini.

Menurutnya, langkah kawalan yang diambil termasuk pembasmian kuman di kelas dan asrama oleh pihak kontraktor.

"Pelajar diberi penutup mulut dan tunjuk ajar berhubung tujuh langkah basuhan tangan oleh epidemiologi, pendidikan kesihatan mengenai penyakit influenza B.

"Influenza B ada virus biasa yang ada dalam komuniti, jika tiada jangkitan kuman (secondary infection) kepada paru-paru, jangkitan ini akan pulih dengan langkah kawalan," katanya.

Tambahnya, pihaknya akan terus memantau sehingga tiada jangkitan yang baharu.

"Setakat ini tiada kes jangkitan yang dilaporkan dan kes terakhir pada 30 Jun lalu," katanya.

Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak MRSM dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sedang diusahakan.