Pecah rumah: 'Geng homestay' tumpas

Mohd Ali (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian barangan yang ditemui di rumah suspek dipercayai dicuri dari kediaman yang dipecah masuk ketika sidang media di Balai Polis Ampang Baru, di sini hari ini.
A
A

IPOH - Polis Ipoh berjaya menyelesaikan kes pecah rumah sekitar Ampang dan Taman Cempaka dengan tertangkapnya empat suspek 'geng homestay' pada 24 dan 27 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, tangkapan dibuat hasil beberapa laporan yang diterima dari tiga balai berhampiran iaitu Ampang Baru, Kampung Rapat dan Tambun.

Katanya, tangkapan pertama dibuat pada 24 Jun membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang memiliki sembilan rekod lampau.

"Hasil soal siasat pertama, kita telah menahan dua lelaki berusia 26 dan 29 tahun diikuti satu lagi tangkapan seorang lelaki berusia 31 tahun di lokasi berbeza di Taman Cempaka.

"Kesemua mereka mengenali antara satu sama lain. Adakalanya mereka bergerak secara bersendirian menjalakan kegiatan jenayah menggunakan modus operandi berbeza," katanya pada sidang media di Balai Polis Ampang Baru, di sini hari ini.

Mohd Ali berkata, hasil pengakuan kesemua suspek, pihaknya berjaya menyelesaikan tujuh kes membabitkan pecah rumah, curi dalam bangunan dan curi kenderaan.

Katanya, kebanyakan premis sasaran adalah rumah sewa pelajar politeknik dan rumah yang dijadikan sebagai inap desa.

Mohd Ali turut menunjukkan sebuah kereta Proton Wira yang dicuri turut ditemui hasil tangkapan kesemua suspek.
Mohd Ali turut menunjukkan sebuah kereta Proton Wira yang dicuri turut ditemui hasil tangkapan kesemua suspek.

Beliau berkata, selain bertindak pecah masuk rumah, suspek turut menyewa inap desa sebelum membawa lari barangan dan peralatan berharga di dalam inap desa tersebut.

"Ada beberapa kaedah dilakukan suspek antaranya mereka akan hubungi tuan rumah untuk sewa inap desa. Ada kes, suspek terus bayar deposit untuk tinggal beberapa hari dan berjanji kepada tuan rumah untuk bayar kemudian.

"Dalam tempoh itu, suspeka membawa keluar barang-barang. Malah ada suspek yang mengemukakan dokumen palsu kepada tuan rumah untuk menyewa," katanya.

Menurut Mohd Ali, kesemua suspek kini direman dan hasil saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.

Katanya, sebanyak 71 barangan kebanyakannya peralatan elektrik ditemui di rumah sewa suspek dengan nilai keseluruhan bernilai RM40,000 termasuk sebuah kereta wira yang dicuri.

Dalam pada itu, Mohd Ali menggesa pemilik rumah dan inap desa agar lebih berwaspada dengan mendapatkan maklumat sebenar penyewa rumah mereka.

Menurutnya, pihak polis juga sudah mengadakan dialog bersama penduduk di Taman Cempaka mengenai kejadian jenayah yang berlaku di kawasan mereka.

Katanya, penduduk dicadangkan supaya mewujudkan komuniti kawasan Rukun Tetangga dan Skim Rondaan Sukarela di tempat mereka bagi mengurangkan kegiatan jenayah.

Jelas beliau, kawasan Taman Cempaka dan Ampang yang mempunyai 67,000 penduduk berada di bawah pentadbiran Balai Polis Ampang Baru yang kini mempunyai kekuatan anggota polis seramai 16 orang.