Seumur hidup tak pernah pergi hospital

Wan Mohd Azrul (kanan) yang tidak mempunyai dokumen diri hanya mampu melihat adik-adiknya, Wan Nur Azira, Wan Muhammad Nabil dan Wan Nor Azlina memengang dokumen pengenalan diri masing-masing di samping ibu mereka Nik Rohani.
Wan Mohd Azrul (kanan) yang tidak mempunyai dokumen diri hanya mampu melihat adik-adiknya, Wan Nur Azira, Wan Muhammad Nabil dan Wan Nor Azlina memengang dokumen pengenalan diri masing-masing di samping ibu mereka Nik Rohani.
A
A
A

KOTA BHARU - Baru berusia 21 tahun, namun pemuda dari Jalan Sri Cemerlang dekat sini terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran hidup semata-mata kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri, sama ada sijil kelahiran, apatah lagi MyKad.

Anak sulung dari lima beradik, Wan Mohd Azrul Wan Omar, 21, bagaikan hidup dalam kegelapan kerana segala urusan hariannya menjadi sukar kerana dirinya tidak ubah seperti pelarian di negara sendiri yang sentiasa diselubungi ketakutan dicekup pihak berkuasa.

“Saya takut nak jalan jauh, nak tunggang motor pun risau sebab tak ada lesen. Kalau teringin sangat nak jalan-jalan, terpaksa minta kawan-kawan bawakan.

“Itupun tak dapat pergi jauh-jauh dan kalau terserempak dengan sekatan jalan raya, kami terpaksa berhenti di bahu jalan atau lepak di kedai makan sampai polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) habis jalankan tugas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rumah Pangsa Villa Sentosa, di sini hari ini.

Bagaimanapun nasib yang dialami Wan Mohd Azrul itu berbeza jika dibandingkan dengan empat adiknya iaitu Wan Nor Azlina, 16; Wan Nor Azira, 13; Wan Muhamad Hafizi, 11, dan Wan Muhamad Nabil, 4, yang kesemua mereka lengkap mempunyai dokumen pengenalan diri masing-masing.

Wan Mohd Azrul berkata, ketika usianya masih kecil dia juga mempunyai hasrat untuk mendapat pendidikan di sekolah seperti mana yang diperoleh adik-adiknya itu, bagaimanapun masalah yang dihadapi tidak melayakkannya bersekolah.

Wan Mohd Azrul
Wan Mohd Azrul

“Masa kecil dulu saya teringin sangat nak belajar membaca dan menulis, tapi sebab tak ada MyKad, terpaksalah kuburkan impian. Sekarang saya tak tahu membaca atau menulis, kalau baca pun sikit-sikit sahaja belajar daripada adik-adik.

Artikel Berkaitan:

“Telefon bimbit pun hanya guna untuk hubungi orang saja, kalau WhatsApp saya tak pandai nak eja. Kalau sakit demam makan pil sajalah, tak pernah dapat rawatan di mana-mana klinik atau hospital. Pernah dulu kena demam campak, tapi cuma pergi berubat kampung,” katanya.

Dalam pada itu, ibunya yang merupakan peniaga kedai makan berasal dari Narathiwat, Nik Rohani Arwae, 48, mengakui, masalah tersebut berpunca daripadanya dan bekas suami, Wan Omar Wan Mahmood, 50, yang tidak dapat mendaftarkan kelahiran Wan Mohd Azrul kerana dilahirkan di Thailand.

“Saya bernikah dengan bapa mereka yang berasal dari Kampung Dalam Rhu Tumpat pada 2 Mei 1997 dan mengandungkan Wan Mohd Azrul. Semasa mengandungkannya, saya dapatkan pemeriksaan di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di Jalan Doktor di sini.

“Masa dah nak bersalin saya ada di Narathiwat dan lahirkan Wan Mohd Azrul pada 8 Ogos 1998. Saya hanya ingat tarikh itu dan apabila bawa dia pulang ke Kota Bharu, kami tak dapat daftarkan kelahirannya sebab kad lawatan klinik masa mengandung dah hilang,” katanya.

Katanya, dia dirundung rasa bersalah yang menebal terhadap keadaan yang menimpa anaknya itu kerana ia berpunca daripada kelalaian diri sendiri.

“Nak kerja kilang pun kena ada MyKad, semua benda pun kena ada dokumen pengenalan diri. Saya dah berhabis ribuan ringgit bayar kepada individu yang tawarkan bantuan untuk dapatkan MyKad, tapi semuanya gagal.

“Saya rayu JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) dapat teliti perkara ini dan bantu anak saya agar dia dapat teruskan kehidupan macam orang lain,” katanya.