Dua pemain muda berdarah kacukan dalam radar FAM

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

DUA pemain muda berdarah kacukan Malaysia yang berpangkalan di Eropah, kini berada dalam radar terbaharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk didaftarkan bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, kedua-dua pemain itu, masing-masing berusia 21 tahun beraksi di Jerman dan pemain berumur 18 tahun di England, sudah menyatakan kesanggupan serta minat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

Beliau mengesahkan FAM sudah menyerahkan dokumentasi lengkap kedua-dua pemain muda itu bersama-sama dua calon utama pemain naturalisasi - pemain tengah Melaka, Liridon Krasniqi dan penyerang sensasi Kuala Lumpur, Guilherme De Paula, untuk dinilai Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kita sudah serahkan dokumen mereka kepada KDN semalam untuk pertimbangan. Kita kena betul-betul pastikan kesahihan dokumen dan kedua-dua pemain itu ada pertalian darah dengan Malaysia.

“Kami telah berhubung dan kedua-dua pemain (berpangkalan di Eropah itu) bersetuju dan berminat bermain untuk Malaysia,” katanya.

Stuart, bagaimanapun berkata maklumat penuh mengenai dua pemain yang beraksi di Eropah itu hanya akan diumumkan selepas penilaian penuh dijalankan KDN terhadap dokumen mereka selesai.

“Sebaik kita mendapat pengesahan dari kerajaan bahawa mereka (pemain muda berkenaan) ini ada pertalian darah yang sah (dengan rakyat Malaysia), kita akan umumkan nama mereka,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan: