MB dapatkan nasihat Sultan Selangor

Amirudin menyampaikan sumbangan duit raya sewaktu Program Sambutan Hari Raya Menteri Besar bersama warga kerja SUK Selangor hari ini.
Amirudin menyampaikan sumbangan duit raya sewaktu Program Sambutan Hari Raya Menteri Besar bersama warga kerja SUK Selangor hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memaklumkan pihaknya telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu papan tanda jalan dalam bahasa Mandarin di Tanjung Sepat.

Menurut Amirudin, perkara itu juga telah dikemukakan oleh beliau dalam mesyuarat Exco sebelum ini bagi membincangkan mengenai perkara yang dibangkitkan itu.

Malah, beliau berkata, pihaknya juga akan membuat keputusan dan mengeluarkan kenyataan mengenai status papan tanda tersebut selepas mesyuarat Exco mingguan pada petang ini.

"Petang ini ada mesyuarat Exco dan saya akan keluarkan kenyataan berkenaan jalan berkenaan dan jalan-jalan lain di Selangor saya akan umumkan sekali," katanya kepada Sinar Harian selepas mengikuti Program Sambutan Hari Raya Menteri Besar bersama warga kerja Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor hari ini.

Sebelum ini, isu papan tanda tersebut mula dibangkitkan apabila ia memaparkan tulisan bahasa Mandarin sehingga menimbulkan pertikaian sebilangan pihak.

Malah, papan tanda itu juga turut dilihat bertentangan dengan titah Sultan Selangor sebelum ini yang mengarahkan supaya semua papan tanda menggunakan bahasa Melayu.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai isu tapak pelupusan sampah haram di Kampung Rantau Panjang, Amirudin memaklumkan bahawa buat masa ini, Kerajaan Selangor sedang dalam proses untuk mengambil tindakan kepada pihak yang bertanggungjawab.

"Itu (kes tapak pelupusan sampah haram) kita sedang proses. Keputusan tindakan selanjutnya sedang dibuat oleh kerajaan negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, kebakaran di tapak pelupusan sampah berkenaan telah memusnahkan kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar.