Enam maut, 18 hilang insiden empangan pecah di India

Empangan Tiware runtuh malam tadi dan menyebabkan enam orang maut manakala sekurang-kurangnya 18 mangsa hilang. - Foto Hindustan Times
Empangan Tiware runtuh malam tadi dan menyebabkan enam orang maut manakala sekurang-kurangnya 18 mangsa hilang. - Foto Hindustan Times
A
A
A

MUMBAI - Enam orang dilaporkan maut manakala sekurang-kurangnya 18 lagi hilang apabila sebuah empangan di negeri Maharashtra barat India, pecah ekoran hujan lebat terburuk dalam tempoh 10 tahun, kata pihak berkuasa.

"Dengan menggunakan dron kami mengesan enam mayat dan lebih 18 mangsa yang masih hilang.

"Kami telah mengerahkan dua pasukan setelah Empangan Tiware pecah malam tadi dan kami sedang mencari mangsa terselamat," kata jurucakap Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan India (NDRF), Alok Awasthy kepada AFP.

Selain NDRF, pasukan polis dan pegawai kerajaan turut mencari mangsa di Ratnagiri, 275 kilometer dari Mumbai.

Semalam, sekurang-kurangnya 22 orang maut dalam insiden runtuhan tembok di sebuah kawasan setinggan di Mumbai juga disebabkan hujan lebat.

Dalam pada itu, enam pekerja buruh turut terbunuh di bandar Pune akibat runtuhan tembok.

Runtuhan bangunan dan empangan pecah sering berlaku ketika musim monsun di India ekoran struktur usang yang tidak dapat menahan bebanan hujan berterusan.

Jabatan cuaca India memberi amaran hujan lebat akan terus melanda beberapa bahagian Mumbai dalam masa beberapa hari lagi. - AFP

Artikel Berkaitan: