Kerjasama Air Arabia jadi penyumbang peningkatan pelancong Asia Barat: MOTAC

Datuk Mohammadin Ketapi (kiri) menerima cenderahati daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Arabia Adel Abdullah (dua, kanan) pada majlis menyambut ketibaan pertama pesawat Air Arabia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. Foto: Bernama
Datuk Mohammadin Ketapi (kiri) menerima cenderahati daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Arabia Adel Abdullah (dua, kanan) pada majlis menyambut ketibaan pertama pesawat Air Arabia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

SEPANG - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yakin kerjasama yang terjalin dengan syarikat penerbangan tambang rendah, Air Arabia mampu menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong dari Asia Barat ke negara ini.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, kerjasama tersebut yang menyediakan perkhidmatan penerbangan secara terus yang menghubungkan Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Kuala Lumpur ini akan mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dan pelancongan antara kedua-dua negara.

"Hari ini kita telah menerima penerbangan secara terus yang pertama dari Sharjah, UAE ke Kuala Lumpur dan ini adalah antara satu lagi kejayaan MOTAC dalam menjalinkan kerjasama dengan syarikat penerbangan luar sejak setahun lalu.

"Jadi kita harap kerjasama ini akan akan terus menyumbang kepada peningkatan pelancong dari rantau itu ke negara ini sekaligus target untuk menerima 30 juta pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 (TTM2020) juga bakal tercapai," katanya pada sidang media Majlis Sambutan Penerbangan Sulung Air Arabia ke Malaysia, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, MOTAC mensasarkan sejumlah 337,100 pelancong dari Asia Barat ke negara ini berbanding 315,937 pada tahun lepas.

"Bagi suku pertama tahun ini iaitu Januari sehingga Mac, negara telah menerima sejumlah 65,202 pelancong daripada rantau tersebut dan daripada jumlah keseluruhan kedatangan pelancong dari seluruh dunia ke negara ini, 25 peratus daripadanya adalah pelancong Asia Barat.

“Pasaran Asia Barat adalah pasaran terpenting buat negara ini termasuklah dari sudut pelancongan negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, ketika ini Air Arabia telah mengendalikan penerbangan ke lebih 170 laluan di seluruh dunia dari empat hab yang terletak di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Artikel Berkaitan:

"Syarikat penerbangan itu digelar sebagai syarikat penerbangan kos rendah terbesar di Asia Tengah dan Afrika Utara yang menghubungkan lebih dari 170 destinasi di seluruh Asia, Afrika dan Eropah.

"Ini akan memberi manfaat kepada penumpang dan pada masa sama kepada negara apabila syarikat penerbangan itu turut mempromosikan Malaysia sebagai destinasi percutian global," katanya.

Penerbangan tanpa henti selama tujuh jam yang bermula hari ini beroperasi menggunakan pesawat Airbus A321 Long Range dengan kapasiti 215 penumpang untuk setiap penerbangan.