Sultan Selangor mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-254

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin (kiri) berangkat tiba pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-254 di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin (kiri) berangkat tiba pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-254 di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-254 di Istana Negara.

Terdahulu, sebelum mempengerusikan mesyuarat yang bermula kira-kira 11 pagi itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU), yang dibarisi tiga pegawai dan 103 tentera terdiri daripada pelbagai pangkat dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

KKU yang julung kali diadakan di Dataran Utama, Istana Negara itu merupakan inisiatif Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Raja-raja Melayu yang berangkat hadir ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah; Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar; Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail; Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra dan Pahang diwakili Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Mesyuarat yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri.

Semalam, Raja-Raja Melayu turut menghadiri mesyuarat pre-counsil Majlis Raja-Raja yang diadakan di Istana Negara.- Bernama

Artikel Berkaitan: