Tunggu pemeriksaan mengejut barangan sekolah!

Seorang bapa, Mohd Jamaluddin Zulkepli, 37(kanan) meninjau harga kasut sekolah yang dijual di sebuah premis di pusat bandar Parit Buntar bersama anaknya hari ini.
Seorang bapa, Mohd Jamaluddin Zulkepli, 37(kanan) meninjau harga kasut sekolah yang dijual di sebuah premis di pusat bandar Parit Buntar bersama anaknya hari ini.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Kerajaan Perak melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengadakan pemeriksaan mengejut di beberapa kawasan luar bandar bagi meninjau harga barangan kelengkapan sekolah, bermula minggu hadapan.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan berkata, inisiatif itu memastikan tiada peniaga atau sindiket tertentu cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barangan kelengkapan sekolah, terutama kasut sekolah hitam yang menjadi isu ketika ini.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan kenaikan harga barangan kelengkapan sekolah, terutama kasut hitam daripada mana-mana pihak.

"Saya sudah meminta KPDNHEP Perak mengadakan pemantauan mengejut bermula Isnin hadapan, khusus meninjau harga barangan kelengkapan persekolahan bagi mengelakkan golongan ibu bapa terutama di kawasan luar bandar terbeban.

"Sehingga kini, bekalan barangan kelengkapan persekolahan bagi negeri Perak adalah mencukupi dan jika ibu bapa berdepan sebarang senario kenaikan harga barang tidak munasabah, mereka perlu membuat laporan segera kepada cawangan KPDNHEP di daerah-daerah," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Sivanesan berkata, pihaknya sendiri mengambil inisiatif turun padang dengan meninjau harga barangan kelengkapan persekolahan di tiga pasaraya melibatkan kawasan Kampar hingga Tanjung Malim.

Menurutnya, sepanjang tinjauan diadakan, tiada ibu bapa hadir bertemu dengannya mengadu mengenai sebarang kenaikan harga kelengkapan persekolahan anak mereka.

"Bahkan tiga pasaraya yang saya tinjau termasuk Tesco dan Aeon berlumba-lumba menjual barangan berkenaan termasuk kasut sekolah hitam dengan harga promosi untuk menarik minat pembeli.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada lebih kurang seminggu sahaja untuk sesi persekolahan bermula. Jadi, jika peniaga tidak dapat menghabiskan stok jualan kelengkapan persekolahan mereka, mereka akan rugi besar kerana terpaksa tunggu tahun hadapan untuk habiskan stok.

"Oleh itu, dengan kadar persaingan sihat dan masa jualan singkat, saya tidak nampak manfaat untuk mana-mana peniaga menjual kelengkapan persekolahan dengan harga tidak munasabah," katanya.