Dewan kecoh, Tajuddin 'berperang' dengan Timbalan Speaker

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditemui media selepas diarah keluar dari Dewan Rakyat. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditemui media selepas diarah keluar dari Dewan Rakyat. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pagi ini kecoh sehingga memaksa Timbalan Speaker Nga Kor Meng memerintahkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) keluar Dewan Rakyat.

Suasana kecoh bermula apabila Tajuddin berang dengan sikap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub yang tidak menjawab pertanyaan yang diajukannya dan meninggalkan dewan serta menyerahkan tugas itu kepada Timbalan Menteri, Sim Tze Tzin.

“Saya ingin merekodkan di sini kekesalan saya terhadap menteri pertanian yang ada di sini tadi, menjawab soalan (pertanyaan lisan) kedua, keluar sebelum satu lagi soalan saya. Beliau tidak hormat, saya mewakili rakyat, tolong hormat sikit rakyat,” katanya di Dewan Rakyat.

Menjawab pertanyaan Tajuddin itu, Sim berkata "Salahuddin ada majlis lain".

Kenyataan Sim itu menyebabkan Tajuddin tidak dapat menerima alasan berkenaan sehinggalah Timbalan Speaker Nga Kor Meng kemudian membuat keputusan mengarahkan Tajuddin keluar dewan selepas beliau enggan mengikuti arahan dan terus membuat kecoh.

“Pasir Salak diberi ruang yang cukup untuk bertanya, tetapi beliau pilih tidak bertanya, tapi lempar tuduhan kepada menteri. Bagi saya tidak berasas, saya minta beliau tanya soalan tapi masih berdegil.

“Oleh itu bentara sila jalankan tugas jemput beliau keluar,” katanya.

Kor Ming kemudian turut memutuskan menggantung Tajuddin daripada menghadiri persidangan dewan selama empat hari.

Artikel Berkaitan:

“Saya menggunakan kuasa di bawah perkara 44 (2) dimana Pasir Salak keluar dari majlis mesyuarat bagi tempoh dua hari, sila keluar.

“Oleh kerana Pasir Salak mengingkari arahan sekali lagi dimana saya perintah dia keluar empat hari, tadi saya bagi dua hari tapi dia ingkar, saya terpaksa bersikap tegas,” kata Kor Ming lagi.

Tidak berpuas hati dengan keputusan Kor Ming itu, Tajudddin menyifatkan itulah sikap sebenar pemimpin DAP.

“Saya nak bertanya, kenapa tak bagi, saya belum habis bertanya kamu sudah henti, speaker henti, inilah perangai DAP tak boleh pakai. Speaker tidak adil tidak hormat kepada rakyat," katanya yang enggan keluar dewan apabila diarahkan keluar beberapa kali.

Kekecohan terus berlarutan apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang, mempersoalkan keputusan speaker yang didakwa tidak konsisten membuat keputusan apabila memjatuhkan dua hukuman dalam satu masa.

“Dalam dua, tiga minit keputusan dibuat, speaker mesti konsisten, mungkin marah pada Pasir Salak, dari satu hari tambah dua hari, tambah empat hari,” kata Ismail Sabri (BN-Bera) sambil disokong Shahidan Kassim (BN-Arau).

Kor Ming kemudian menjelaskan beliau telah membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Keputusan saya memang konsisten, mengikut perintah tetap 44 (2) apabila ahli berkelakuan tidak senonoh atau menghina majlis.

“Saya beri peluang tiga kali tapi enggan patuhi perintah, Pasir Salak faham tapi sengaja mengundang kekecohan inilah sikap tidak bertangungjawab, oleh kerana sikap sengajanya saya jatuhkan hukuman dua hari, tapi masih ingkar sekiranya saya tidak bagi keputusan lagi saya rasa Pasir Salak akan buat lebih lagi, oleh kerana itu saya beri perintah, keluar empat hari,” katanya.

Selepas lebih 15 minit kekecohan berlaku, Kor Ming kemudian meneruskan sidang dengan meminta Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menjawab pertanyaan lisan bagi pertanyaan lain.