Kedai runcit, bengkel musnah terbakar

Keadaan kebakaran yang menyebabkan tiga unit kedai separuh kekal musnah dalam kejadian di Jalan Dato Mohd Ali, Pekan Endau, malam tadi.
Keadaan kebakaran yang menyebabkan tiga unit kedai separuh kekal musnah dalam kejadian di Jalan Dato Mohd Ali, Pekan Endau, malam tadi.
A
A
A

MERSING - Tiga unit kedai separuh kekal musnah dalam kejadian kebakaran di Jalan Dato Mohd Ali, Pekan Endau malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 10.22 malam yang melibatkan kedai runcit dan bengkel kenderaan itu turut menyebabkan tiga buah lori, sebuah kereta dan tiga buah fokrlift sedang dalam pembaikan terjejas.

Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Endau, Mohd Alias Hussin berkata, pihak bomba berjaya mengawal api kira-kira 40 minit dari merebak ke kedai makan berhampiran dan stesen minyak yang terletak 15 meter dari lokasi kejadian.

Menurutnya, seramai 30 anggota dengan kekuatan empat jentera, dua kenderaan EMRS dari BBP Endau, Mersing, Rompin serta bomba sukarelawan Endau membantu memadamkan kebakaran.

Katanya, pihaknya turut menerima bantuan dari agensi lain seperti SAJ, Tenaga Nasional Berhad dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum berjaya menamatkan operasi jam 3.30 pagi.

"Pihak bomba menerima laporan kejadian dari orang awam yang datang ke BBP Endau memaklumkan kejadian itu di mana balai kita ke lokasi sangat berhampiran kira-kira satu minit lebih sahaja masa perjalanan.

"Ketika sampai di lokasi api sudah marak dan ekoran kebakaran itu menyebabkan semua unit kedai satu pintu dan dua pintu itu terbakar 85 peratus selain beberapa kenderaan yang berada di luar bengkel juga turut terbakar," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, bomba turut berdepan masalah tekanan air kurang dan menggunakan sumber air laut untuk operasi pemadaman.

Jelasnya, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kejadian berlaku difahamkan kedai terbabit sudah tutup operasi.

"Pihak bomba masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kebakaran dan anggaran kerugian," katanya.