Kekurangan tandas ancam 620 juta kanak-kanak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
LONDON - BRITAIN. Kekurangan tandas di sekolah mampu mengancam kesihatan, pendidikan dan keselamatan sekurang-kurangnya 620 juta kanak-kanak di seluruh dunia, kata badan amal WaterAid dalam penyelidikan yang diterbitkan, hari ini.

Menerusi laporan Reuters, menurut penyelidikan itu, data yang dikumpul daripada 101 negara, kanak-kanak yang berada di satu daripada tiga buah sekolah dikatakan kekurangan akses kepada kemudahan tandas yang sempurna, menyebabkan mereka terdedah kepada risiko cirit-birit dan jangkitan lain hingga menjejaskan pelajaran.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan menjelang sambutan Hati Tandas Sedunia, Isnin depan, Guinea-Bissau, di Afrika Barat mempunyai tandas paling teruk di sekolah manakala kanak-kanak Ethiopia pula berdepan masalah tandas buruk di rumah, dengan 93 peratus rumah kekurangan tandas yang sempurna.

“Mesej yang ingin disampaikan di sini adalah air dan sanitasi mampu menjejaskan banyak perkara. Jika tandas tidak disediakan di sekolah, ia bakal menjejaskan pendidikan dan memberi kesan kepada tumbesaran mereka,” kata jurucakap WaterAid, Anna France-Williams kepada Yayasan Thomson Reuters.

WaterAid berkata, kekurangan sanitasi meletakkan jutaan kanak-kanak di seluruh dunia berdepan risiko cirit-birit, yang mengorbankan 289,000 kanak-kanak berusia di bawah lima tahun, setiap tahun.

Bagaimanapun terdapat rantau yang mula sedar kesilapan mereka, Asia Selatan umpamanya, sudah memperbaiki kemudahan tandas di sekolah.

Hampir separuh daripada sekolah di Bangladesh ketika ini mendapat akses kepada tandas yang sempurna, manakala 73 peratus sekolah di India dan 76 peratus lagi di Bhutan mempunyai akses kepada sanitasi asas.

Pengarah Air, Sanitasi dan Kebersihan badan amal BRAC, di Bangladesh, Akramul Islam, berkata, negara itu sebelum ini menggunakan kaedah pembuangan terbuka, menggunakan kawasan lapang bukannya tandas, kini hanya tinggal satu peratus saja.

“Hari ini, sekolah mempunyai tandas berasingan untuk kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki dan isu tempat pembuangan tuala wanita juga ditangani.
Artikel Berkaitan:


“Ini adalah inisiatif yang diambil kerajaan, NGO dan pihak berkepentingan,” katanya.

Walaupun berlaku perubahan, lebih satu pertiga remaja perempuan di Asia Selatan tidak pergi ke sekolah selama sehari hingga tiga hari dalam tempoh sebulan sepanjang tempoh haid mereka. Ini menjadikan pelaburan asas sanitasi satu keperluan yang mendesak. - Reuters