Mat Sabu perjelas maksud 'we can't fight them'

Mohamad Sabu - Foto SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
Mohamad Sabu - Foto SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan beliau tidak sesekali memperkecilkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ekoran ungkapan ‘we can’t fight them’ (kita tidak boleh melawan mereka) yang beliau ucap pada Sidang Kemuncak Keselamatan Asia Ke-18 di Singapura baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ketika menjawab soalan tambahan daripada Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang bertanyakan apa yang dimaksudkan oleh Mohamad berhubung kenyataan itu pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya Malaysia sentiasa mengamalkan konsep diplomasi dan berkecuali dalam isu membabitkan negara luar bagi mengelak negara terjerumus ke kancah peperangan.

"Sejak dahulu lagi Malaysia mengamalkan konsep dasar dua hala dengan negara luar.

"Maksud 'fight' ialah berperang. Adakah kita bersedia untuk berperang terutamanya dengan negara kuasa besar.

"Ya, kita boleh bercakap, saya semasa pembangkang dahulu pun saya memang lebih hebat bercakap daripada yang sana (pembangkang) tetapi kita kena lihat keupayaan dan kalau boleh dahului perdamaian kenapa kita memilih perperangan," katanya.

Katanya lagi, jalan diplomasi itu juga yang telah diajarkan oleh bekas ketuanya sebelum ini.

"Ini yang disebut oleh bekas pemimpin saya dahulu daripada Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), iaitu kita dahulukan pendamaian daripada peperangan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kita kata nak berperang kita tunjuk kekuatan, kalau kita tidak kuat akhirnya kita akan dipermainkan sebab itu kita dahulukan dialog, dahului diplomatik sebab nak elak perang," katanya.

Sebelum ini ucapan Mohamad kepada deligasi forum di Sidang Kemuncak Kesalamatan Asia Ke-18 di Singapura baru-baru ini mendapat perhatian ramai.

Antara yang mendapat perhatian dan menjadi kontroversi ialah kenyataan Mohamad mengenai 'we can't fight them' yang mendapat liputan menyeluruh dalam kalangan rakyat Malaysia.