X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki Pakistan ditahan cuba rogol pekerja kedai

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Noorzainy)
A
A

KEPALA BATAS - Seorang pekerja kedai pakaian di Teluk Air Tawar di sini terpaksa berdepan detik mencemaskan selepas menjadi mangsa cabul lelaki warga Pakistan dalam kejadian yang berlaku pada malam Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, mangsa yang berusia 30 tahun dikatakan baharu sahaja keluar dari tempat kerjanya sebelum dia dihampiri suspek.

Lelaki berkenaan dikatakan terus menolak mangsa sehingga terjatuh sebelum dia bertindak mencium mulut mangsa dan kemudian membuka zip seluarnya menunjukkan kemaluan ke arah mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa cuba menyelamatkan diri namun suspek bertindak lebih agresif dengan memeluk mangsa daripada belakang.

Menurutnya, berlaku pergelutan antara mereka dan mangsa akhirnya berjaya melarikan diri dan terus ke balai polis bagi melaporkan kejadian berkenaan.

"Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan telah diberi rawatan di Hospital Kepala Batas.

"Hasil siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati kawasan itu tiada liputan kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada siapa melihat kejadian itu kerana rakan sekerja mangsa telah balik ke rumah," katanya ketika dihubungi di sini.

Bagaimanapun Noorzainy berkata, hasil kecekapan risikan yang dilakukan pihaknya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah SPU berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Kulim kira-kira jam 2 petang semalam.

"Soal siasat yang dilakukan terhadap suspek yang berusia 25 tahun itu mengakui melakukan perbuatan berkenaan dan menawarkan RM20 kepada mangsa untuk melakukan seks dengannya.

"Suspek kini ditahan reman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 354/509 Kanun Keseksaan kerana mencabul," katanya.