97.6 peratus kes hilang kanak-kanak, remaja ditemui semula

Wan Azizah Wan Ismail
Wan Azizah Wan Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 15,042 kes kehilangan kanak-kanak dan remaja dilapor dari tahun 2011 hingga Mei tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, sebanyak 97.6 peratus atau 14,679 kes kehilangan telah ditemui semula, manakala 363 kes belum ditemui.

Beliau berkata daripada jumlah itu, Johor mencatat jumlah kes kehilangan paling tinggi iaitu 2,372 kes, Selangor (1,911) dan Kedah (1,526).

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata lebih malang, 26 kes ditemui meninggal dunia.

"Bagaimanapun, terdapat penurunan kes kehilangan kanak-kanak dan remaja bagi tempoh itu dengan penurunan signifikan melibatkan tahun 2018 hingga Mei tahun ini," katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

No Image Caption

Beliau menjawab soalan P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang ingin tahu usaha diambil kerajaan bagi menangani masalah itu.

Artikel Berkaitan:

Dr Wan Azizah berkata kes-kes kehilangan itu antaranya disebabkan remaja dan kanak-kanak terlibat ingin mencari kebebasan, terpengaruh dengan rakan, dipengaruhi kekasih untuk lari dari rumah, pertelingkahan serta kurang perhatian keluarga selain mencari pekerjaan kerana tidak minat belajar.

Beliau berkata pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan bagi menangani masalah kehilangan termasuk talian Nur Alert yang menyebarkan maklumat secepat mungkin untuk membantu mengesan kanak-kanak hilang.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah menegaskan tidak wujud sebarang kegiatan penjualan organ yang dikaitkan dengan kes kehilangan kanak-kanak dan remaja di negara ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) berhubung dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan kes kehilangan kanak-kanak dan remaja dengan kegiatan penjualan organ. - Bernama