Kutip makanan yang jatuh dengan segera

Mengutip makanan yang jatuh sebenarnya sunah Rasulullah SAW jika diyakini ia masih bersih lagi. -GAMBAR HIASAN.
A
A

SETIAP kali ada makanan terjatuh daripada pinggan, kita pasti akan membuangnya kerana menganggap ia sebagai sisa makanan.

Sebenarnya, mengutip makanan yang terjatuh merupakan sunah Rasulullah SAW apabila diyakini ia masih bersih.

Siapa tahu, makanan yang jatuh itu sebenarnya ada keberkatan ALLAH SWT.

Ya, ia kelihatan remeh, bukan?

Namun, kita perlu sedar bahawa jika makanan yang jatuh tidak dikutip, ia akan menjadi makanan syaitan.

Memang kita boleh gantikan makanan yang terjatuh itu, tetapi belum pasti makanan tersebut mendapat keberkatan ALLAH SWT.

Daripada Anas RA berkata: "Dahulu apabila Rasulullah SAW selesai makan, baginda menjilati ketiga jarinya seraya bersabda: "Apabila suapan salah seorang daripada kalian terjatuh, hendaklah ia membersihkannya dan memakannya. Jangan biarkan makanan itu dimakan syaitan! Juga, hendaknya kalian membersihkan sisa makanan yang berada di pinggan. Sebab, kamu tidak tahu pada bahagian mana daripada makanan kamu yang mengandungi keberkatan." (Riwayat Ahmad dan Muslim)

Justeru, jangan kita pandang lekeh perkara itu kerana ia merupakan sunah Nabi Muhammad SAW.

Sekurang-kurangnyq cubalah jadikan ia sebagai amalan kita untuk mengumpul saham di akhirat kelak.

(Sumber: Mohd Nasruddin Dasuki)