Sirih rencat sel kanser

A
A
A

TAHUKAH ANDA?

SIRIH hidangan tradisional terutama dalam kalangan masyarakat Asia.
SIRIH hidangan tradisional terutama dalam kalangan masyarakat Asia.

TIDAK perlu dipertikaikan lagi, terdapat banyak manfaat sirih atau nama saintifiknya Piper betel linn yang berasal daripada keluarga Piperaceae.

Terkenal sebagai ‘snek’ yang boleh dimakan bersama kapur, gambir dan buah pinang di beberapa buah negara seperti India dan Thailand, sirih turut digunakan secara meluas dalam bidang kesihatan di banyak negara.

Di Malaysia, pokok sirih banyak digunakan terutamanya dalam masyarakat Melayu dan India, sama ada dari sudut perubatan hingga dijadikan sebagai bahan dalam upacara tradisi.

Mengulas lanjut tentang kebaikan sirih, Felo Penyelidik Pasca Doktoral di Pusat Penyelidikan Sebatian Semula Jadi dan Penemuan Dadah, Universiti Malaya, Nor Hisam Zamakshshari berkongsi hasil penyelidikan tentang tumbuhan itu dengan Sihat:Aktif.

Ujar beliau, daun sirih telah lama digunakan dalam perubatan Melayu lama yang tertulis dalam Kitab Tibb bagi mengubati pelbagai penyakit. Antaranya adalah untuk:

1. Merencatkan pertumbuhan sel kanser

Artikel Berkaitan:

Ekstrak daun sirih mempunyai potensi sebagai agen merencatkan pertumbuhan sel kanser.

Hasil kajian fitokimia telah menemukan hidroksichavikol iaitu salah satu sebatian yang terdapat dalam ekstrak daun sirih. Ia dapat merencat beberapa jenis sel kanser seperti payudara, paru-paru, kolon dan pankreas.

2. Agen antibakteria

Ekstrak daun dan minyak daripada daun sirih berupaya menentang beberapa jenis bakteria seperti escherichia coli, streptococcus pyogenes, staphylococcus aureus dan candida albicans dalam dos yang rendah.

3. Penyembuh luka

Satu formulasi minyak yang mengandungi 10 peratus ekstrak daun dan batang sirihnya dapat memberi kesan penyembuhan luka lebih bagus daripada larutan iodin.

Selain itu, sifat antioksidan dan vitamin C ada padanya mampu meredakan masalah kulit terbakar. Caranya hancurkan beberapa helai daun sirih campur dengan dua sudu teh madu dan letak pada kulit terbakar.

SIRIH boleh menghalau serangga.
SIRIH boleh menghalau serangga.

4. Mengurangkan ulser perut

Kajian menunjukkan penyakit ulser perut mampu dikurangkan sebanyak 93.4 peratus setelah diberi rawatan tujuh hari kepada tikus makmal dengan allpyrocatechol iaitu salah satu sebatian tulen yang terdapat pada ekstrak daun sirih.

Daun sirih turut boleh menyembuhkan sakit perut dengan minum rebusan air daun sirih sebanyak tiga kali sehari.

5. Menghalau serangga

Ekstrak metanol daun sirih yang diletakkan pada perangkap serangga berupaya menghalau serangga perosak ostrinia furnacalis pada persekitaran ladang jagung. Kandungan metanol membuatkan serangga tersebut tidak berani berada di kawasan ladang.

ANEKDOT

MENGENALI sirih

- Tumbuhan herba yang hidup subur di Malaysia, Asia, Madagascar, Timur Afrika dan Hindia Barat.

- Menjalar dan memanjat pada batang pokok atau kayu hingga 4.5 meter panjang.

- Sesuai ditanam di atas tanah gembur yang tidak terlalu lembab. Memerlukan cuaca tropika dengan air yang mencukupi.

Antara khasiat lain:

- Mengandungi protein, karbohidrat, mineral, tannin, kalsium, kalium, zat besi, vitamin A, B, dan C.

- Daun sirih boleh mengatasi masalah sakit gigi dan mulut berbau. Caranya dengan kunyah beberapa helai daun sirih dan berkumur.

- Ekstrak air daun sirih boleh meredakan sakit kepala. Caranya, minum campuran akar daun sirih, pucuk jarak dan jintan hitam.

- Bagi menghentikan rembesan dan bengkak susu. Caranya, ambil beberapa helai daun dan panaskannya serta letak pada payudara.

- Kandungan chavikol yang ada pada daun sirih boleh merawat masalah kulit dan jerawat. Untuk menghilangkan jerawat jadikan daun sirih sebagai masker.

- Mengubati keputihan dan kegatalan pada alat sulit wanita. Caranya ambil 10 helai daun sirih dan rebus. Air rebusan tersebut digunakan untuk membasuh kemaluan.

- Disebabkan terdapat banyak khasiat dalam sirih, pelbagai produk kesihatan telah dijual di pasaran yang berasaskan tumbuhan ini. Namun penggunaan daun sirih masih lagi memerlukan kajian terperinci untuk keselamatan penggunanya.

- Kaya antioksidan seperti eugenol, hidroksichavikol dan vitamin A,B dan C.

- Menurunkan kandungan gula dalam darah.

- Mengurangkan pembentukan tumor bagi kanser kulit.

- Menghentikan pendarahan hidung.

- Meredakan gusi berdarah.

- Mencegah batuk.

- Mengurangi bau badan.

- Membantu sistem penghadaman.

- Mengawal berat badan

- Merawat jerawat.

- Mengawal stres.

- Melancarkan haid dan meredakan senggugut.

- Meredakan asma.

- Penawar sakit jantung.

PROFIL

DR Nor Hisam
DR Nor Hisam

Dr Nor Hisam Zamakshshari merupakan Felo Penyelidik Pasca Doktoral di Pusat Penyelidikan Sebatian Semula Jadi dan Penemuan Dadah, Universiti Malaya. Beliau menjalankan penyelidikan fitokimia dan aktiviti biologi terhadap pelbagai tumbuhan di Malaysia.